Setelah menang dalam kes liwatnya 11 tahun dahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan terakhirnya hari ini apabila Mahkamah Persekutuan mensabitkan beliau terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya tujuh tahun lepas.
Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan.
Hakim-hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Dalam kes pertama itu, ketua pembangkang berkenaan didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.
Mahkamah memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah pada 14 April, 1999.
Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun bagi kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad membatalkan sabitannya dan mengetepikan hukuman penjaranya bagi pertuduhan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.
Anwar, 68, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang memulakan karier politiknya dengan menyertai Umno pada 29 Mac 1982 sebelum dipilih menjadi Anggota Parlimen Permatang Pauh dan seterusnya timbalan menteri, Jabatan Perdana Menteri kira-kira sebulan kemudian.
Dalam Umno, beliau pernah menjadi ketua pemuda (1982-1987), naib presiden (1988-1993) dan timbalan presiden (1993-1998).
Jawatan kabinet yang pernah dipegangnya ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983); Menteri Pertanian (1984); Menteri Pendidikan (1986); Menteri Kewangan (1991) dan Timbalan Perdana Menteri (1993-1998) sebelum dipecat.
Setelah disingkirkan daripada Umno pada 1998, Anwar menjadi Anggota Parlimen Bebas bagi Permatang Pauh sebelum menjadi penasihat PKR yang diketuai isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden parti.
Pada Ogos 2008, Anwar bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh mewakili PKR setelah Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar.
Beliau kemudian menjadi Anggota Parlimen Permatang Pauh sejak 2008 sebelum dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
- Bernama
