Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (EMCcenter), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia memohon geran kerajaan sebanyak RM15 juta untuk meluaskan skop pengujiannya.

Geran tersebut akan digunakan untuk membina kebuk tak bergema dan membeli peralatan pengujian untuk menjalankan ujian bagi komponen automotif dan pertahanan, kata Ketua EMCcenter, Prof Dr Mohd Zarar Mohd Jenu.

"Kemudahan tersebut akan diwujudkan bersebelahan bangunan EMCcentre sedia ada di universiti di Batu Pahat, Johor," katanya kepada Bernama .

Beliau berkata skop pengujian baharu itu akan menyokong pengeluar-pengeluar komponen, selain terus meningkatkan pengetahuan dan sumber manusia untuk menyelesaikan masalah EMC hari ini dan menangani cabaran akan datang.

"Kami melihat potensi besar jika Malaysia mengenakan syarat-syarat EMC dalam sektor automotif dan pertahanan," kata Mohd Zarar.

EMC ditakrifkan sebagai keupayaan produk untuk beroperasi dalam persekitaran yang dikehendaki tanpa memasukkan tenaga elektromagnet yang melampau dalam persekitaran tersebut.

Ditubuhkan pada 2001, EMCcentre antaranya menawarkan pengujian ke atas pancaran dan ketahanan radiasi, menjalankan pancaran, tenaga frekuensi radio dan pelepasan elektrostatik.

Pusat itu telah dianugerahkan sijil akreditasi MS ISO/IEC oleh Jabatan Standard Malaysia bagi kecekapan pengurusan dan teknikalnya pada tahun lepas.

Ia diterajui seorang profesor dan dibantu oleh pensyarah, jurutera dan juruteknik yang menyediakan khidmat rundingan dan latihan berdasarkan permintaan industri.

"Pelanggan potensi kami merupakan pengeluar produk elektrik dan elektronik termasuk peralatan IT, perkakas isi rumah dan permainan, industri lampu serta penerima siaran, video dan audio, peralatan perubatan dan peralatan jentera kecil," kata Mohd Zarar.

Beliau berkata EMCcenter menyasarkan untuk mencapai perolehan sebanyak RM60,000 pada tahun ini berbanding hanya RM25,000 dicatatkan pada tahun lepas, terutamanya daripada pengujian dan rundingan.

"Ia akan menggandakan bilangan pengujian daripada 15 pada tahun lepas. Sejumlah 80 pengujian telah dilaksanakan sejak penubuhannya.

"Ujian untuk sebuah unit tertentu adalah antara 20 dan 60 minit, dengan kos setiap ujian daripada RM450 hingga RM2,500, bergantung kepada kesukaran unit yang akan diuji.

"Kami mempunyai kemudahan bagi produk yang gagal dan fi ujian yang lebih murah berbanding makmal pengujian lain di Malaysia serta kakitangan yang cekap," katanya.

Mohd Zarar juga berkata antara cabaran dalam mengendalikan pusat tersebut ialah kesukaran untuk mendapatkan modal untuk pengembangan dan seiring dengan standard EMC yang sentiasa berubah yang memerlukan pelaburan baharu dalam sumber manusia dan peralatan.

Katanya keperluan modal tersebut bukan sahaja penting bagi EMCcenter dan universiti tetapi juga kepada sektor automotif dan pertahanan negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS