Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kegagalan mendapatkan pinjaman bank akibat nama disenarai hitam atau mempunyai komitmen yang tinggi sudah pasti membuatkan mana-mana individu buntu jika memerlukan wang dalam masa singkat.

Selain meminjam dengan saudara-mara atau rakan, syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dilihat sebagai alternatif bagi mencari jalan keluar daripada kemelut kewangan.

Tidak menjadi satu masalah jika mahu membuat pinjaman daripada syarikat memberi pinjam wang berlesen namun individu terbabit perlu mengetahui hak mereka sebagai peminjam agar tidak teraniya oleh segelintir syarikat yang mengaut keuntungan berganda dengan melakukan penipuan.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur Samsudin Mohamad Fauzi, terdapat lebih 3,000 syarikat pinjaman berlesen berdaftar di seluruh negara yang boleh menjadi pilihan peminjam.

"Syarikat pinjaman berlesen merupakan alternatif jika individu sudah tidak layak membuat pinjaman di bank atau koperasi.

"Namun perlu diingatkan, agar berhati-hati kerana terdapat banyak syarikat pinjaman berlesen ini menjalankan kegiatan ala 'Along' seperti mengenakan bunga tinggi dan menipu melalui pengisian dokumen," katanya kepada Bernama .

Samsudin berkata, syarikat pemberi pinjam wang berlesen tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan perlu mendapatkan lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terlebih dahulu.

Terdapat dua perkara yang patut diketahui peminjam iaitu pemberi pinjam wang yang sah hanya boleh menjalankan urusan pinjaman di alamat operasi yang diluluskan sahaja dan premis yang sah perlu mempamerkan lesen mereka di tempat yang mudah dilihat oleh pelanggan.

"Selain itu pelanggan juga perlu waspada terhadap borang yang diisi iaitu mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Perlesenan) 2003, dua jenis borang sahaja dibenarkan iaitu Borang Perjanjian Pinjaman Jadual J bagi pinjaman tanpa cagaran dan Borang Perjanjian Pinjaman Jadual K bagi pinjaman bercagar.

"Kedua-dua bentuk perjanjian pinjaman ini mempunyai isi kandungan perjanjian yang berlainan," katanya.

Samsudin berkata pelanggan juga diingatkan supaya tidak mengisi borang perjanjian kosong kerana ia boleh menyebabkan mereka tertipu dan menanggung kerugian lebih besar sekiranya syarikat terbabit kemudiannya melengkapkan borang perjanjian pinjaman itu tanpa pengetahuan pelanggan.

Menurut Samsudin, setiap perjanjian memberi pinjam wang hendaklah diaku saksi di hadapan seorang Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi, seorang pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Pesuruhjaya Sumpah, Jaksa Pendamai, Pegawai daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.

Katanya, peminjam juga perlu maklum bahawa syarikat ini juga tertakluk kepada peraturan tertentu ketika mengenakan faedah atau bunga kepada peminjam.

"Mengikut peraturan yang ditetapkan untuk pinjaman tanpa cagaran, mereka (syarikat peminjam) ini hanya boleh mengenakan maksimum 18 peratus setahun manakala bagi pinjaman bercagar faedah yang dikenakan ialah tidak melebihi 12 peratus setahun.

"Namun apa yang berlaku kini, daripada pemerhatian yang kita lakukan, sebahagian besar syarikat ini mengenakan sehingga 30 peratus sebulan dan ini merupakan satu kesalahan, " tegasnya.

Justeru, katanya, sebelum individu mahu membuat pinjaman, mereka harus mengambil kira dan memastikan syarikat pemberi pinjam ini melaksanakan proses peminjaman dengan cara yang betul bagi mengelak ditipu.

Bagi mereka yang mendapati ada salah laku atau telah teraniaya oleh syarikat pemberi pinjaman ini, mereka perlu mengemukakan aduan ke Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai, KPKT.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS