Most Read
Most Commented
Read more like this

Kempen bertafakur yang dilancarkan oleh empat pengendali web proreformasi adalah satu episod yang tidak ingin dilihat dalam perjuangan rakyat menuntut reformasi di Malaysia.

Kempen ini adalah sebagai satu langkah mendesak dua pemimpin Parti KeADILan Nasional berundur. Pengendali laman-laman ini dilaporkan menghantar surat kepada pucuk pimpinan parti itu meminta Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, agar meletakkan jawatan.

Difahamkan mereka ini akan terus bertafakur sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi.

Memang tidak dapat dinafikan, sumbangan laman web seperti Laman Reformasi, Black 14, Pemantau, dan Komentar memang besar. Sejak gerakan reformasi dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira dua tahun lalu, pengendali-pengendali laman ini memainkan peranan yang bukan kepalang besarnya.

Masa, tenaga dan wang yang mereka curahkan untuk menghidupkan dan menggerakkan laman-laman ini tidak mampu diukur dengan wang ringgit.

Harus tidak dilupa, merekalah satu-satunya media yang mempromosikan demonstrasi jalanan yang berjaya menggugat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sekali gus membuka mata dunia tentang ketidakadilan yang sedang berlaku di Malaysia.

Jadual-jadual dan laporan-laporan terperinci demonstrasi tidak terdapat di media-media lain. Bukan saja Utusan Malaysia , malah Harakah juga tidak begitu berminat memperbesarkan demonstrasi pada awalnya.

Jadi, laman-laman inilah satu-satunya sumber rujukan penggemar demonstrasi.

Tiada siapa berani menafikan hakikat bahawa KeADILan meraih banyak keuntungan politik melalui demonstrasi jalanan ini. Jika KeADILan berorientasikan ceramah semata-mata seperti PAS misalnya, nama-nama seperti Ezam, Tian Chua atau Lokman Adam mungkin tidak sepopular sekarang.

KeADILan lahir dalam situasi iklim politik yang tidak digemari oleh pemerintah. Ia lahir dalam era Kementerian Dalam Negeri diarahkan bertungkus lumus mencari jalan untuk tidak meluluskan permit akhbar pembangkang.

Jika ada parti komponen Barisan Alternatif dapat permit akhbar baru, ramai yang menjangkakan banjir besar akan melanda Kuala Lumpur sekali lagi! Pak Lah dijangkakan mengambil masa "berpuluh-puluh tahun" untuk mempertimbangkan permohonan permit buletin milik KeADILan.

Ini menyebabkan parti itu tidak ada banyak pilihan selain bergantung kepada laman-laman ini untuk mendekati rakyat. Kesefahaman antara dua pihak sebenarnya ini telah berjalan sekian lama.

KeADILan dan laman-laman web reformasi saling kait-mengait. Malah nama KeADILan dan laman reformasi hampir-hampir menjadi sinonim.

Demonstrasi telah banyak memberi political mileage kepada KeADILan. Pengendali web banyak membantu menterjemahkan suara parti KeADILan. Wajar saja jika pengendali web merasakan mereka juga mempunyai suara untuk menegur parti itu.

Dan sebagai sebuah parti yang bukan ala-Umno, tidak ada salahnya jika pemimpin-pemimpin KeADILan memberikan perhatian serius kepada perkara ini.

Peranan parti itu mencorakkan senario reformasi politik di Malaysia memang diakui benar. KeADILan adalah satu wadah alternatif yang berjaya memberi dampak yang berkesan dalam politik Malaysia dalam usia semuda itu.

Parti-parti pembangkang baru dan berlainan ideologi biasanya berkubur atau berpecah selepas ditubuhkan. KeADILan menafikan kebiasaan ini. Bersama-sama rakan-rakan dalam BA, ia telah merobek keangkuhan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum November lalu.

Kita berharap kematangan pemimpin-pemimpin KeADILan membuka kembali pintu hati pengendali web dan laman-laman mereka.

Pihak pemerintah seboleh-bolehnya tidak mahu melihat media yang tidak memuji Dr. Mahathir beroperasi di negara ini.

Untuk memenuhi dasar ini, kerajaan BN melalui KDN telah mengambil tindakan terhadap media alternatif seperti Harakah, Detik dan Eksklusif. Harakah tidak dibenarkan terbit dua kali seminggu, Detik terus diharamkan, manakala nasib akhbar Eksklusif ibarat "Pak Kadok kalah bersabung."

Walau pun berbagai-bagai dalih digunakan oleh KDN untuk mengambil tindakan terhadap media tadi, namun dari sudut politiknya ia adalah satu langkah menyekat penyebaran maklumat kepada rakyat.

Kerajaan BN tidak mahu usaha mereka memperbodohkan rakyat cuba digagalkan oleh media yang kritis seperti ini. Ini memang jelas. Budak sekolah pun tahu hal ini!

Bukan lagi rahsia bahawa selepas "kejayaan" BN melemahkan media yang pro-BA, sasaran mereka seterusnya adalah laman-laman web yang tidak berfahaman "utusanisme".

Sesiapa pun boleh meneka bahawa sememangnya menjadi agenda BN untuk menggunakan apa saja cara agar laman-laman web "bawah tanah" proreformasi ini tidak boleh beroperasi. Tindakan menutup akhbar dan menghalang rakyat berfikir adalah angkara zalim.

Ia wajar bagi BN, sesuai dengan perwatakan zalim mereka. Bagi parti kerajaan itu, kezaliman harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tekun. Golkar Indonesia di bawah pimpinan Suharto juga melakukan perkara yang sama.

Namun persoalannya adakah pengendali laman web proreformasi juga patut melakukan tindakan yang serupa walaupun berlainan nawaitu?

Tindakan pengendali menutup laluan ke laman-laman mereka, walaupun sementara adalah satu tindakan yang boleh dilihat sebagai menutup saluran maklumat alternatif kepada rakyat.

Sekaligus ia dikira menyokong tindakan zalim BN tadi. Tentu saja Pak Lah tersenyum lebar melihat laman-laman ini "ditutup" tanpa perlu beliau bersusah payah mencipta helah baru.

Namun adalah tidak adil bagi kita untuk memihak apabila pertembungan berlaku di antara dua pihak yang menentang kezaliman. Apatah lagi bagi kita yang tidak memahami susur-galur politik yang selalunya tidak seimbang antara kuasa dan jawatan.

Namun sebagai pencinta keadilan, kita layak bertanya adakah tindakan menutup laluan kepada laman-laman web ini satu-satunya kaedah terbaik dalam melaksanakan sesuatu tuntutan? Apa yang lebih membimbangkan, kaedah ini mungkin memberi ruang kepada musuh-musuh reformasi untuk mengambil kesempatan.

Walaupun pengendali-pengendali laman ini merasakan mereka ada sebab tersendiri apabila melancarkan kempen ini, apa yang dikhuatirkan rakyat mungkin melihat senario ini daripada perspektif berbeza.

Rakyat berpusu-pusu meninggalkan Umno kerana muak dengan perpecahan dalaman parti itu. Dan sudah mestinya rakyat tidak mahu budaya Umno membiak dalam perjuangan meminggirkan Umno ini.

Hasil akhir daripada tindakan ini - jika berlarutan - ialah tertutupnya satu lagi saluran alternatif untuk rakyat mendapat maklumat. Di saat-saat kongkongan media semakin rakus dilakukan oleh pemerintah, tindakan ini hanya memburukkan lagi keadaan.

Ketika media alternatif yang berani menyiarkan muka Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail ditekan dan diugut, seharusnya laman web menjadi wadah alternatif.

Sekali imbas, kempen tafakur ini boleh ditafsirkan sealiran dengan dasar kongkongan media oleh pemerintah.

Oleh itu, kita berharap penyelesaian terhadap isu ini dicari secepat mungkin. Kegagalan untuk menangani segera isu ini akan memberi kesan negatif kepada rakyat amnya. Rakyat menyokong KeADILan. Rakyat perlukan laman-laman ini.

Kita menyokong dan menghargai peranan pengendali web membakar semangat reformasi. Namun, kita juga merayu kepada mereka supaya memikirkan semula kesan tindakan ini terhadap perjuangan menuntut reformasi, terutama menjelang pilihanraya kecil Telok Kemang.


ZUNAR merupakan kartunis Harakah yang pernah bertugas bersama majalah humor Gila-Gila dan akhbar Berita Harian . Beliau sudah beberapa kali ditangkap dan kini sedang dibicarakan atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan proreformasi. Melalui karyanya, pembaca terhibur mengkritik pemimpin Umno dan kerajaan.

ADS