Berita Malaysiakini

‘Hudud bukan agenda utama PasMa’

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Walaupun pertikaian mengenai isu hudud masih lagi berlanjutan antara PAS dan DAP, namun bagi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), perkara itu sedikit pun tidak menjejaskan NGO tersebut. 

Ini kerana, PasMa - sebuah NGO yang dianggotai oleh ahli PAS – berpandangan bahawa perkara itu bukan agenda utama pertubuhan tersebut, kata Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi. 

 

Sehubungan itu, katanya, PasMa (PasMa) tidak menetapkan sebarang pendirian dalam mana-mana isu yang melibatkan Pakatan Rakyat termasuk hudud. 

 

Katanya, ia kerana fokus utama pertubuhan itu adalah untuk memastikan pemimpin Pakatan dapat mencapai kata sepakat terhadap mana-mana isu yang berbangkit. 

 

"Apa-apa isu sama ada isu hudud atau persempadanan semula (pilihan raya), kita nak pimpinan Pakatan mencapai persetujuan, konsesus. Kita tak terlibat untuk buat keputusan terhadap isu yang spesifik. 

 

"Kita tak letak pendirian kita pada hudud," katanya kepada pemberita selepas majlis makan anjuran PasMa Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi. 

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita apakah pendirian PasMa berhubung hasrat kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu. 

 

Kerajaan Kelantan akan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 16 hingga 19 Mac ini.

 

Bagaimanapun, perkara itu sehingga kini mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya dari Pakatan iaitu DAP.

 

Sementara itu, mengulas mengenai Multaqa Ulama PAS minggu lalu yang dilihat sebagai medan untuk menghentam PasMa dengan pelbagai gelaran yang diberikan, bekas exco Kedah itu berkata, beliau tidak hirau dengan perkara tersebut. 

 

Ini kerana, katanya, pelbagai gelaran telah diterima sejak awal penubuhan PasMa. 

 

Malah, katanya, segala perkara yang dibincangkan di dalam multaqa itu hanyalah cadangan daripada sayap parti dan bukan ketetapan PAS Pusat. 

 

"Multaqa bukan ketetapan PAS tetapi cadangan daripada salah satu sayap PAS. Kita anggap itu cadangan kerana d peringkat akhirnya ialah di PAS Pusat atau muktamar. Multaqa baru cadangan. 

 

"Masa mula-mula ditubuhkan lagi, dah banyak gelaran diberi, itu (gelaran syaitan dan gila) tak heran. Macam-macam gelaran dah diberi pada kita dah," katanya lagi. 

 

Terdahulu, kira-kira 300 ahli PasMa dari seluruh negara menghadiri majlis makan malam anjuran PasMa Selangor untuk mengutip dana bagi membiayai aktiviti pertubuhan itu. 

 

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, aktivis Hishamuddin Rais dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.