Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: Ayah tidak ajar saya hentam Umno
Diterbitkan:  Mar 2, 2015 9:38 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

"Ayahanda mendidik saya bukan dengan memukul Umno dan BN.

"Saya juga mengenal ayahanda saya mendidik rakyat bukan dengan memukul Umno dan BN bertalu-talu."

Demikian jawab anak tokoh PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sewaktu dihadapkan tuduhan bahawa beliau mewakili kumpulan pro-kerajaan perpaduan yang sering mengkritik sesama pemimpin parti itu.

Walaupun tidak menjelaskan kumpulan yang mendakwa begitu, Nik Abduh berkata terdapat tanggapan beliau "kurang memukul Umno dan BN" dan "kuliahnya berlapik-lapik, tidak luka Umno dan BN."

Semalam Nik Abduh dilaporkan mendedahkan wujudnya "barua" dalam parti itu yang lebih pro-Pakatan Rakyat dan kumpulan ini dulu pernah "cuba memisahkan pemikiran presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Nik Aziz".

Kenyataan ini sebahagian daripada siri pertelagahan terbuka dua kumpulan utama dalam PAS sejak beberapa tahun lalu.

Satu kumpulan dikenali pro-ulama, yang didakwa pro-kerajaan perpaduan dengan Umno, manakala satu lagi mahu menarik PAS bersama Pakatan Rakyat dalam usaha merampas Putrajaya.

Dalam kenyataannya di Facebook petang ini, ahli jawatankuasa pusat PAS itu menambah, Nik Aziz juga pernah berpesan agar tidak ghairah menentang Umno sejak beliau masih di kampus.

"(Sewaktu) berkuliah itu, jangan asyik pukul Umno, asyik cakap politik saja. Beri ilmu agama kepada masyarakat hatta masa ceramah politik (apatah lagi dalam kuliah agama).

"Jangan asyik ikut orang lain. Kita ada ilmu, kita beri ilmu. Orang tidak ada ilmu, dia tidak boleh memberi apa yang orang berilmu boleh beri," Nik Abduh memetik pesan bapanya.

Bekas menteri besar Kelantan itu dan mursyidul am PAS meninggal dunia bulan lepas.

Nik Abduh (kiri) juga berkata Nik Aziz berpesan padanya: "Apabila masyarakat berilmu, senanglah mereka faham mengapa kita melawan Umno. Sekali cakap sahaja orang terus faham.

"(Cara) melawan Umno, bubuh ilmu banyak-banyak, lama-lama lenyaplah Umno."

Beliau, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, cuba menepis lebih awal tanggapan umum bahawa bapanya antara tokoh PAS yang paling lantang mengecam dasar dan pendekatan Umno.

"Anda hanya mengenal ayahanda saya melalui ceramah politik dan aktiviti politiknya sahaja. Maka sisi itulah yang anda mengenali ayahanda. Anda beruntung dapat ilmu politik daripadanya.

"Tetapi saya lebih beruntung kerana mendapat ilmu kehidupan daripadanya," tambahnya, tanpa menghuraikan lebih jelas kenyataannya itu.

Nik Abduh juga mempertahankan pandangan-pandangannya di media sosial yang tegas mempertahankan kumpulan pro-ulama dalam PAS.

"Tulisan-tulisan saya di alam maya ini adalah usaha saya menepati nasihat ayahanda.

"Tidak perlulah saya berlapik untuk memohon maaf kepada orang-orang Umno jika tulisan-tulisan saya sebelum ini telah semakin menjauhkan mereka daripada PAS yang saya cintai sebagaimana ayahanda mencintainya.

"Saya tiada berhasrat demikian selain islah dan pembaikan sedaya upaya saya," katanya.

Lihat Komen
ADS