Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Ali: Saya pun tiada masalah isytihar harta
Diterbitkan:  Mar 6, 2015 8:55 AM
Dikemaskini: 2:38 PM

Selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bersetuju untuk mengistiharkan hartanya, ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata beliau juga tiada masalah untuk berbuat demikian.
 
"Saya tidak ada masalah. Saya tak ada apa yang hendak disembunyikan," kata bekas senator itu kepada Malaysiakini.
 
Syed Ali, yang sebelum ini mencabar ahli-ahli politik pembangkang untuk berbuat demikian selepas mereka mempersoalkan kekayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, berkata beliau hidup mengikut kemampuannya.
 
"Mungkin ada yang takut untuk mengisytiharkan kekayaan mereka tetapi saya tidak. Saya tidak mempunyai hartanah di luar negara, jet peribadi atau perkara-perkara seperti itu, "katanya.
 
Ditanya bagaimana dia akan mengisytiharkan hartanya, Syed Ali menegaskan bahawa satu mekanisme bebas perlu diwujudkan.
 
Rafizi sebelum ini berkata beliau akan menunaikan janjinya dengan mengisytiharkan harta, pendapatan dan perbelanjaan sebelum dan selepas menjadi seorang ahli politik, Selasa depan.
 
Ahli parlimen Pandan itu berkata beliau akan mendedahkan butiran itu di lobi Parlimen dan berharap semua wakil rakyat, sama ada dari Pakatan Rakyat atau BN, akan melakukan perkara yang sama.
 
Rafizi juga meminta Syed Ali memulakan kempen dalam Umno supaya para menteri mendedahkan harta mereka.
 
Bagaimanapun, Syed Ali berkata walaupun beliau bersedia untuk mendedahkan hartanya, tetapi beliau tidak boleh memaksa orang lain untuk berbuat demikian.
 
"Rafizi perlu menulis kepada Umno dan mengeluarkan satu cabaran kepada mereka. Dia perlu meminta mereka (wakil rakyat) untuk mendedahkan harta mereka," katanya.
 
Pada masa yang sama, Syed Ali berkata Rafizi perlu meyakinkan semua dalam Pakatan untuk mengikuti jejak langkahnya sebelum membuat cabaran kepada Umno.
 
 

Lihat Komen
ADS