Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas 10 tahun bergelar pelakon, Remy Ishak kini cuba menarik masyarakat supaya lebih mendekati teater dengan menggunakan pengaruh yang ada.

Memandangkan teater berskala kecil tidak ramai penontonnya, pelakon berusia 33 tahun itu berkata, tidak salah sekiranya beliau menggunakan pengaruhnya untuk mengajak masyarakat mendekati teater seterusnya mendidik mereka tentang dunia seni lakon teater.

"Saya harap lebih ramai lagi yang akan menonton teater. Itu misi saya. Mungkin orang kata saya ada pengaruh saya.

"Untuk (penonton) teater tidak ramai, jadi apa salah kalau betul saya ada pengaruh, saya memanggil (masyarakat) untuk dekatkan diri mereka dengan dunia teater untuk lebih tahu tentang seni teater dan seni lakon.

"Secara tidak langsung saya mendidik orang di luar sana untuk minat teater," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas pementasan teater Sekuntum Mawar Merah di Pusat Persembahan Seni Damansara (DPAC) malam tadi.

Menceritakan penglibatannya dalam teater Sekuntum Mawar Merah terbitan Revolution Stage, Remy - yang melakonkan watak Rashid - berkata beliau ingin mencabar dirinya dan mendapatkan pengalaman baru dengan melakonkan watak di pentas teater.

 

Mengakui masih lagi dalam "mood" berlakon teater Takhta Tiga Ratu sebelum itu, Remy berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang berlakon drama pentas serta mencabar dirinya dengan pelbagai watak yang diberikan.

"Saya baru lepas (pementasan) Takhta Tiga Ratu dan mood main teater itu masih ada lagi. Jadi saya tak nak lepaskan peluang. Saya tahu ada banyak benda yang kadang-kadang mencabar. Jadi kita nak mencabar diri kita untuk berlakon.

"(Lagipun) berlakon di DPAC ini, saya dapat pengalaman baru. Di Istana Budaya walaupun berlakon teater tetapi penontonnya lain. Jadi saya nak dapat watak baru, pengalaman baru dan feel baru," kata Remy, yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

Sekuntum Mawar Merah sebuah teater eksperimental dalam bentuk visual dan muzik itu diarahkan oleh Khairunazwan Rodzi yang juga penulis skrip drama pentas itu.

Mangsa rogol

Teater berlatar era 80-an itu menceritakan seorang gadis bernama Mawar yang dibesarkan oleh ibunya - yang menjadi mangsa rogol.

Mawar yang dilakonkan oleh Nadia Aqilah (kanan) mempunyai dendam untuk menuntut bela demi ibunya.

Ketika sedang mengejar kesumatnya itu Mawar kemudian dipertemukan dengan Rashid, seorang lelaki yang mencintainya sepenuh hati.

Sepanjang teater itu berlangsung, ia dipenuhi dengan lagu dari kumpulan Alleycats dan dinyanyikan oleh Remy dan Nadia Aqilah. Antaranya Sekuntum Mawar Merah, Layang-layang Terputus Talinya dan Suara Kekasih.

Menceritakan penghasilan teater bertemakan cinta dan dendam itu, Khairunazwan berkata, beliau mendapat inspirasi jalan cerita drama pentas itu daripada bunga mawar dan lirik lagu Sekuntum Mawar Merah.

"Lagu-lagu Alleycats memang dipilih kerana sebelum ini kita pernah buat pementasan teater mengenai P Ramlee, Sudirman. Jadi kali ini kita guna lagu-lagu dari Alleycats.

"Konsep cerita lebih kepada visual dan penceritaan. Nadia Aqilah dan Remy ada aura dan karisma mereka ketika berada di atas pentas sebab (teater) visiual, jadi kita nak karisma pelakon di atas pentas," kata Khairunazwan (kiri) yang mesra dipanggil Wan.

Bagi pengarah muzik teater ini, Ayop Azril pula pemilihan lagu yang dibuat bersama Wan diambil berdasarkan kepada jalan cerita dan skrip.

Malah, katanya, lagu-lagu Alleycats juga dijadikan inspirasi sebagai penghormatan kepada kumpulan yang ditubuh sejak 1969 itu.

"Konsep cerita ini dia dark sikit, jadi muzik kena betul-betul ikut cerita. Tak boleh pelik-pelik, kena ikut tema. Jadi kita baca skrip dulu dan tengok jalan cerita, tengok babak yang sesuai baru pilih lagu.

"(Pemilihan lagu) hasil perbincangan pengarah kerana skrip juga dari pengarah sendiri. Dan lagu itu memang penghormatan kepada Alleycats," katanya.

Teater Sekuntum Mawar Merah dipentaskan pada 26 Februari dan berakhir malam tadi.

Lihat Komen
ADS