Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2015 yang disambut di seluruh dunia pada 8 Mac.
Tahun 2015 menandakan ulang tahun ke-20 Perisytiharan Beijing dan platform untuk tindakan (Perisytiharan Beijing), satu pelan tindakan luar biasa, yang diterima secara sebulat suara dan ditandatangani oleh 189 kerajaan pada tahun 1995.
Pengisytiharan tersebut telah menetapkan agenda untuk memajukan matlamat kesaksamaan, pembangunan dan keamanan, serta pemerkasaan untuk semua wanita.
Dengan matlamat ini, tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini adalah "Memperkasakan Wanita, Memperkasakan Kemanusiaan: Gambarkannya!"
Walaupun terdapat pencapaian yang signifikan dalam aspek hak wanita di Malaysia, namun masih wujud pelbagai halangan.
Suruhanjaya memandang berat isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita, gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja, hak kepada pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial wanita dan kanak-kanak perempuan, hak wanita orang asli dan isu perkahwinan kanak-kanak.
Tambahan pula, walaupun wujud Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, pekerja wanita dalam sektor swasta tidak menikmati perlindungan perlembagaan yang sama seperti rakan-rakan
mereka di sektor awam.
Sebagai contoh, walaupun dengan syor oleh Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai cuti bersalin yang tidak boleh kurang daripada 14 minggu, kebanyakan majikan sektor swasta hanya menawarkan cuti bersalin sehingga 60 hari sahaja.
Suruhanjaya mengingati semula jaminan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia pada bulan Mac 2010 yang menyatakan semula komitmennya kepada Perisytiharan Beijing pada sesi ke- 54 Suruhanjaya Mengenai Status Wanita di New York.
Oleh yang demikian, suruhanjaya menyeru kerajaan untuk mengambil langkah aktif bagi menghapuskan semua halangan undang-undang serta amalan dan polisi yang mendiskriminasi berdasarkan gender, yang masih wujud di Malaysia.
Selain itu, kerajaan telah mengumumkan rancangannya untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 55 peratus dalam tahun 2015 berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Dalam mencapai sasaran ini, suruhanjaya mengesyorkan agar kerajaan menetapkan satu strategi komprehensif yang menolak sikap bersifat patriarki dan stereotaip yang mendiskriminasi terhadap wanita dalam semua sektor.
Ini selaras dengan peruntukan dalam Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), yang mana Malaysia merupakan negara ahli.
Di samping itu, Perisytiharan ASEAN mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita dan Penghapusan Keganasan Terhadap Kanak-kanak juga menyarankan semua negara anggota untuk mengambil "langkah-langkah yang perlu untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita".
Ia juga menyarankan supaya "meningkatkan usaha untuk membangunkan dan memperbaiki perundangan, pendidikan serta langkah sosial yang sedia ada dan perkhidmatan sokongan yang bertujuan untuk mencegah keganasan terhadap wanita”.
Suruhanjaya berharap agar matlamat ini dapat dicapai melalui kerjasama yang aktif bersama pertubuhan masyarakat sivil, melalui pendidikan dan kesedaran awam terhadap hak wanita di semua peringkat masyarakat.
TAN SRI HASMY AGAM pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
