Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dilihat tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang  meminta supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan presiden.  

 

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Hanipa Maidin, kenyataan itu tidak wajar dibuat memandangkan jawatan presiden merupakan satu jawatan yang boleh dicabar dan ia termaktub dalam perlembagaan parti.  

 

"(Kenyataan) kena kekalkan presiden PAS, tak sepatutnya keluar daripada mursyidul am.  

 

"Saya bukan tak hormat Haron Din tetapi bagi saya kita kena hormat mereka yang telah merangka Perlembagaan PAS iaitu orang yang tahu dalam berpolitik.  

 

"Saya tak nampak kenapa bila ikut perlembagaan, (didakwa) bercanggah dengan Islam. Kalau begitu, kita kena buang Perlembagaan PAS supaya isu bertanding untuk jawatan presiden tak timbul," katanya.  

 

Beliau berkata demikian dalam forum "Ke Mana PAS Tanpa Nik Aziz" anjuran Malaysiakini malam tadi.  

'Profesional tak berguna untuk PAS?'

 

Sehubungan itu Hanipa yang juga peguam PAS berkata, pemimpin parti itu tidak sepatutnya mengetepikan cadangan berhubung pencalonan presiden oleh perwakilan parti.  

 

"Jangan anggap perwakilan tak ada nilai dalam PAS. Tanpa Perlembagaan, tiada istilah AJK semua itu. Saya sertai PAS kerana saya nak menyumbangkan kepakaran saya dan saya benci Umno, itu sahaja.

 

"Kalau PAS rasa profesional itu tidak guna, terpulang. Tetapi ahli PAS berhak untuk keluarkan kenyataan untuk kebaikan PAS," katanya lagi.  

 

Semalam Sinar Harian melaporkan, Haron berpendapat belum masanya lagi presiden PAS ditukar.  

 

Kata Haron, secara peribadi beliau merasakan ahli PAS perlu taat kepada presiden sedia ada.  

 

Isnin lalu PAS Kota Bharu mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pencabar Hadi untuk jawatan presiden.  

 

Pemilihan Tuan Ibrahim dibuat kerana Hadi mengalami masalah kesihatan.  Tuan Ibrahim bagaimanapun menolaknya.

Sebulan pemergian Nik Aziz

Panelis lain dalam forum tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa dan Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar.

Forum tersebut diadakan bersempena sebulan pemergian Nik Aziz, bekas menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS.

Sementara itu, dalam forum yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu, Hanipa turut menegur segelintir "ustaz" dari Timur Tengah yang gagal membincangkan tentang isu-isu semasa.

Berbeza dengan Nik Aziz, seorang tokoh yang mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai situasi, Hanipa berkata "ustaz" yang ada dalam PAS kini belum tentu mampu untuk bercakap tentang isu semasa termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tambahnya lagi, disebabkan sifat keterbukaan Nik Aziz terhadap pelbagai isu termasuk menghadiri majlis di rumah ibadah agama lain, beliau menjadi tokoh yang diterima semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.

“Mereka yang balik dari Timur Tengah, kalau daripada segi menghafaz, tafsir hadis dan al-Quran ini sempurna tetapi gagal memahami realiti. Kalau tanya isu 1MDB pun tak tahu 1MDB. Ini realiti dalam PAS.

“Sekarang ini kepelbagaian dianggap satu ancaman dan menyusahkan maka lahirlah istilah walak (taat setia) dan sebagainya,” katanya.

NGO: Dalami isu rakyat

Perkara itu turut dipersetujui oleh Farouk apabila beliau menyarankan supaya PAS menjadi sebuah parti yang relevan sekiranya mahu memerintah negara.

Kata Farouk ( kiri ), PAS perlu mengubah hala tujunya supaya lebih mendalami isu-isu rakyat.

"Kurangkan (bercakap) negara Islam, hudud dan mula bercakap tentang isu-isu yang dialami rakyat, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan buat seminar bincangkan tentang isu cukai dan masalah jurang ekonomi.

"Ini yang realiti yang ada di Malaysia. Jadi, apa yang relevan sekarang ialah kena memastikan dan beri wacana kepada rakyat supaya boleh lihat kebolehan (PAS) memerintah negara," katanya.

Lihat Komen
ADS