Malaysiakini BERITA

'Ampu, tak boleh ditegur menular dalam PAS'

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Budaya mengampu dan tidak boleh ditegur kini merupakan antara masalah yang terdapat dalam PAS, kata Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

Mengulas isu pemilihan presiden dan perpecahan dalam PAS, Hanipa berkata ada segelintir "ustaz-ustaz bermasalah" yang tidak boleh menerima sekiranya teguran dibuat terhadap Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tanpa menamakan mana-mana individu, peguam itu mendakwa, terdapat juga segelintir mereka yang hanya membodek dan tidak menegur jika terdapat kesalahan yang dilakukan oleh presiden parti.

"Kebanyakan ustaz-ustaz ini memang bermasalah dalam PAS sekarang ini. Saya cakap bukan kerana saya tak sayang. Kalau saya tak sayang mereka, saya tak cakap.

"Saya selalu tegur dalam mesyuarat dan di luar mesyuarat. Mereka yang tak mahu mengaku presiden ada kelemahan, dia tahu presiden lemah, tapi tak mahu tegur. Ini masalah.

"Saya selalu cakap, mereka (ustaz) yang sebenarnya merosakkan presiden. Mereka yang tak mahu menegur presiden dan merasakan semua yang dilakukan (presiden) sempurna. Ini sebenarnya yang merosakkan PAS. Mengampu ini dalam mana-mana pertubuhan dia memang menghancurkan.

"Ini masalah dalam PAS, selagi kita tak mengaku benda ini, jangan harap kita boleh pergi ke depan. PAS kena mengakuinya," katanya dalam forum 'Ke mana PAS tanpa Nik Aziz?' anjuran Malaysiakini malam tadi.

Turut menjadi panelis ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Pengerusi Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa dan Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata parti juga memerlukan seorang presiden yang bukan sahaja boleh menjadi wakil kepada parti tetapi turut mewakili Malaysia.

Sehubungan itu, Hanipa berkata, segala teguran terhadap Hadi yang juga MP Marang, perlu diambil bagi memastikan ia tidak merugikan parti pada masa akan datang.

"Presiden PAS bukan sahaja mewakili PAS tetapi (mewakili Malaysia), barulah orang yakin PAS boleh mentadbir. Ini tidak mewakili Malaysia, tidak masuk akal. Orang dalam PAS ini kena keluar daripada mentaliti terkepung yang kamu bina sendiri.

"Kita selalu ditarbiyah mesti ikhlas pada parti, jadi kalau kita ada kepentingan peribadi, kita tak boleh terus hidup. Ini akan merugikan PAS. PAS tak boleh lari, jangan anggap (teguran) orang luar tak penting," kata Hanipa lagi.