Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Dua-dua PM, timbalan harus undur
Diterbitkan:  Mar 13, 2015 7:30 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa supaya perdana menteri dan timbalannya meletakkan jawatan berikutan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kedudukan pendidikan negara semakin corot dalam ujian piawaian antarabangsa.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Kit Siang berkata, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan mereka memandangkan isu 1MDB yang dilihat semakin serius serta prestasi pendidikan di negara ini yang tidak memuaskan. 

"Negara bukan sahaja memerlukan seorang menteri kewangan yang baru, tetapi juga menteri pendidikan yang baru.

“Ini menjadi keperluan yang ditekankan selepas Muhyiddin hari ini menyatakan rasa terkejut dengan prestasi hambar pelajar Malaysia dalam penilaian antarabangsa," katanya. 

Sehubungan itu, Kit Siang berkata, selepas 15 bulan Muhyiddin menjadi menteri pendidikan, timbalan presiden Umno itu dilihat masih gagal untuk mengetahui punca kepada masalah yang dihadapi pelajar di negara ini.

"Muhyiddin nampaknya tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya telah mempengerusikan penyusutan standard pendidikan yang berpanjangan di kalangan pelajar Malaysia sepanjang enam tahun lalu.

"Berdasarkan rekod menyedihkan sepanjang sepuluh tahun Muhyiddin menjadi menteri pendidikan ini sahaja, beliau seharusnya meletakkan jawatan.

"Malaysia tidak memiliki pendidikan bertaraf dunia, tidak kira pendidikan rendah, menengah mahupun peringkat tinggi," kata Kit Siang lagi.

Muhyiddin hari ini mengatakan rasa terkejut apabila mengetahui Malaysia berada di kedudukan tercorot ujian piawaian antarabangsa walaupun kerajaan memperuntukkan dana besar dalam sistem pendidikan negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, laporan ujian di peringkat  antarabangsa seperti Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) dan Pengajian Antarabangsa Matematik dan Sains (TIMSS) membuktikan prestasi  pelajar Malaysia masih belum cukup cemerlang.

Lihat Komen
ADS