Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi amaran kepada rakan sekutunya DAP supaya tidak menganggu proses demokrasi berhubung pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II.

Beliau yang juga ADUN Panchor itu berkata sekiranya DAP tidak berpuas hati dengan pindaan enakmen hudud ia, maka ia boleh dibahaskan di Parlimen kelak.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah jika rang undang-undang itu ditolak selepas dibentang di Dewan Rakyat kerana ia melalui proses demokrasi, kata Mohd Amar lagi.

"Kita nak minta (DAP) jangan menghalang, biarkan proses demokrasi ini berjalan, biar kita bawa ke Parlimen. Dan kalau dia (DAP) nak bahas pun tak apa, dan kalau usul kita ditolak oleh Parlimen, kita akan puas hati. Cuma jangan hentikan proses demokrasi

"DAP selalu cakap tentang demokrasi, maka berilah ruang pada proses demokrasi berjalan. Tak setuju tak mengapa, itu hak kamu. Cuma jangan halang kita, kita nak pilih jalan demokrasi, jalan perlembagaan

"Jadi kenapa yang itu (enakmen hudud) pun nak disekat. Bagi laluan kepada kita, biar Parlimen tentukan dan kalau ditolak, kita puas hati, tak ada masalah," katanya kepada pemberita selepas pembentangan pindaan enakmen hudud dalam sidang DUN di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Terpulang pada PKR, DAP

Ditanya sekiranya berlaku perpecahan Pakatan Rakyat selepas enakmen ini dibentangkan, Mohd Amar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS berkata ia terpulang kepada kebijaksanaan rakan gabungan pembangkang, PKR dan DAP.

"(Isu) pecah, tak pecah ini bergantung kepada DAP dan PKR. Kalau mereka mengambil tindakan bijak kita tidak akan berpecah," katanya yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal Kanun Jenayah Syariah II.

Jika DUN Kelantan meluluskan pindaan Rang Undang-undang Syariah II 1993, ia akan dibawa ke Dewan Rakyat dan memerlukan sokongan sebanyak 120 ahli parlimen untuk diluluskan dan bakal dilaksanakan hujung tahun ini.

Mengulas hal itu, Mohd Amar turut meminta supaya semua wakil rakyat yang beragama Islam menyokong Rang Undang-undang hudud itu sekiranya ia dibawa ke Parlimen.

"Saya minta semua yang beragama Islam, tidak mengira parti bersama-sama dengan kita, bila bawa Rang Undang-undang ini ke Parlimen. Sebab ini isu agama, bukan isu politik dan kita pun tak bermain politik dalam isu ini," katanya lagi.

 

Sidang DUN hari ini ditangguhkan pada pukul 1 petang dan akan bersambung esok. Keputusan sama ada enakmen itu diluluskan atau tidak akan diketahui esok.

Lihat Komen
ADS