Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan kesatuan sekerja hari ini mendesak pemimpin atasan Khazanah Nasional Bhd meletak jawatan kerana didakwa gagal menyelesaikan masalah pemberhentian 6,000 kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Khazanah adalah syarikat milik kerajaan yang menjadi pemegang saham terbesar dalam MAS.

"Pemimpin atasan Khazanah harus letak jawatan kerana gagal menyelesaikan masalah (pemberhentian) 6,000 pekerja MAS,” kata Pengerusi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) Malaysia, Tan Sri Zainal Rampak.

Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, beliau berkata mereka akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon campur tangannya untuk menyelesaikan masalah itu, petang ini.

Memorandum itu antara lain mendesak agar pemberhentian 6,000 pekerja dihentikan serta merta dan rundingan hala tuju MAS serta masa depan pekerja dibuat segera.

Jelasnya lagi, penstrukturan semula MAS harus dibuat dengan telus dan mematuhi Perlembagaan Negara serta undang-undang.

“Kami mahu menerangkan kepada PM, Khazanah tidak dapat menyelesaikan masalah MAS, kami mahu kerajaan dan PM campur tangan,” katanya.

Setiakawan pelbagai kesatuan sekerja

Pelbagai kesatuan sekerja lain hari ini turut hadir dalam sidang media itu hari ini bagi menyatakan setiakawan mereka dengan kakitangan MAS yang mungkin hilang mata pencarian mereka.

Kesatuan-kesatuan itu turut menandatangani memorandum kepada Najib. Mereka termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Kongres Kesatuan Sekerja dalam syarikat GLC dan Penswastaan (GLC).

Turut menyatakan sokongan termasuk Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM), ASEAN Services Employees Trade Union Council Malaysia (ASETUC) dan Public Services Internationa Malaysia (PSI).

Sementara itu, Senator Syed Shahir Syed Mohamud yang turut serta dalam sidang media itu berkata beliau sudah membangkitkan perkara itu dalam Dewan Negara tetapi jawapan menteri didakwa tidak meyakinkan.

“Sebelum ini saya sudah bangkitkan dalam dewan negara, tapi jawapan yang diberikan oleh menteri itu tidak meyakinkan,”kata Syed yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu.

Tahun lalu, Khazanah mengumumkan pakej RM6 bilion untuk mengurangkan 30 peratus atau 6,000 pekerja sedia ada MAS bagi membolehkan syarikat tersebut kembali menjana keuntungan dalam tempoh tiga tahun, atau menjelang 2017.

Rancangan itu turut melibatkan penubuhan satu syarikat baru untuk mengambil alih aset dan perniagaan syarikat lama.

Lihat Komen
ADS