Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pemandu bas persiaran dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah merompak dan mencabul kehormatan seorang penuntut sebuah universiti awam, bulan lepas.

Hakim Slamat Yahya memerintahkan Mohd Jais Rosli, 45, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Mac lepas.

Tertuduh merupakan pemandu bas yang diarahkan majikannya untuk membawa dan menghantar penuntut-penuntut di dalam kawasan universiti berkenaan.

Mohd Jais didakwa merompak RM100 milik penuntut jurusan Kejuruteraan Kimia berusia 21 tahun menggunakan senjata iaitu pisau dan sebatang besi di perhentian bas di hadapan Hospital Shah Alam pada pukul 4.20 petang, 26 Mac.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat.

Lelaki itu juga didakwa menggunakan kekerasan untuk mencabul gadis berkenaan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, selepas menaiki bas dipandu tertuduh, mangsa mendapati tiada penumpang lain di dalam bas melainkan tertuduh.

Lelaki itu kemudian secara tiba-tiba bertindak menutup pintu bas dan mencekik leher mangsa serta menutup mulut dan hidung gadis itu menggunakan tuala lembab berwarna kuning.

Pada masa sama, tertuduh bertindak membuka tudung mangsa dan menyuruh gadis itu membuka bajunya.

Mangsa cuba melawan dan berlari ke arah tempat pemandu serta membunyikan hon untuk meminta pertolongan tetapi tertuduh bertindak mencekik leher mangsa sambil mengacukan pisau dan melilit leher gadis itu menggunakan wayar mikrofon.

Tertuduh kemudian meminta mangsa memberikan sejumlah wang dan gadis itu menyerahkan RM100 tetapi tertuduh meminta wang lebih banyak serta mengugut mangsa supaya memberikan wangnya yang berada dalam akaun.

Ketika kejadian tertuduh sempat meminta maaf kepada mangsa dan berjanji akan memulangkan semula wangnya selain turut menceritakan masalahnya kepada gadis itu melalui beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapp selepas kejadian.

Terdahulu, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia mempunyai empat orang anak, merupakan kesalahan pertama dan telah menyesali perbuatannya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira trauma dialami mangsa yang berada dalam bas seorang diri bersama tertuduh.

"Perbuatan tertuduh seperti acu pisau, besi dan cekik leher mangsa boleh menyebabkan kecederaan parah yang juga boleh mengakibatkan kematian.

"Kejadian itu akan beri kesan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada penuntut lain memandangkan tertuduh merupakan pemandu yang diamanahkan untuk ambil dan hantar penuntut dalam kawasan universiti, " katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS