BERITA Malaysiakini

Pekedai ambil kesempatan caj barangan sifat GST

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula semalam menyaksikan berlaku peningkatan harga terhadap beberapa barangan yang sepatutnya tidak dikenakan cukai tersebut.

Tinjauan Bernama berhubung harga barang di beberapa pasar borong dan kedai runcit sekitar ibu negara mendapati harga bahan seperti ikan dan sayur-sayuran meningkat walaupun ia diklasifikasikan sebagai berkadar sifar GST.

Seorang pesara Mohd Zuki Md Yatim, 50, berkata beliau mengesan berlaku kenaikan harga ikan di sebuah pasar borong.

"Sebelum ini satu kilogram ikan kembung dijual dengan harga RM14, namun hari ini ia dijual dengan harga RM17 sekilogram," katanya.

 

Beliau berkata walaupun tanda harga menunjukkan ikan tersebut tidak dikenakan CBP atau berkadar sifar, namun berlaku peningkatan harga yang ketara sehingga memaksa beliau menghadkan jumlah pembelian.

Peniaga di sebuah pasar basah, Rosminah Kaylan, 60, berkata harga borongbagi beberapa jenis bahan mentah naik dalam masa beberapa hari lalu.

"Misalnya satu kilogram halia yang saya biasa beli berharga RM45, tapisemalam harga sudah naik kepada RM48 sekilogram," katanya yang mahu penguatkuasaan ditingkatkan bagi memantau golongan peniaga yang mengambil kesempatan atas pelaksanaan GST.

Bagaimanapun seorang pembeli Yow Kok Chaw, 50, berkata pelaksanaan GST tidak begitu memberi impak besar terhadapnya.

"Caj GST yang dikenakan hanya sedikit sahaja dan tidak mendatangkan kesan yang besar terhadap perbelanjaan bulanan saya," katanya di sebuah pasar borong di Wangsa Maju.

Dalam pada itu, hari pertama pelaksanaan GST turut menimbulkan kekeliruan bagi pembeli yang tidak memperoleh maklumat lengkap melalui resit pembelian.

Terdapat pasar raya yang masih menggunakan sistem resit lama yang tidak memaparkan kadar caj GST yang dikenakan secara jelas sebaliknya terus memasukkan caj enam peratus bagi setiap barangan ke dalam harga unit berkenaan.

Pasar raya sedemikian didapati mengeluarkan dua resit berbeza, satu resit yang memaparkan nilai GST yang dikenakan secara keseluruhan serta satu lagi resit yang terus memasukkan caj GST ke setiap unit barang yang dibeli.

Pengurus pasar borong itu yang enggan dikenali berkata pembeli perlu meminta juruwang mencetak salinan resit kedua yang memaparkan jumlah pecahan caj GST yang dikenakan bagi keseluruhan jumlah pembelian.

"Kita ada dua jenis resit yang menunjukkan caj keseluruhan GST yang dikenakan dan satu lagi resit terus memasukkan harga baru barang termasuk dengan caj GST barang tersebut," katanya.

Negara yang mula melaksanakan GST dilihat melakukan pembaharuan penting dalam memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang memperkenalkan GST termasuk tujuh negara anggota ASEAN.

- Bernama