Azmin: Khalid 'tohmah' isu tender terbuka

Zulaikha Zulkifli        

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini membidas kembali kritikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa penamatan sistem tender terbuka yang dilakukan pentadbirannya bakal mengundang "bencana".

Azmin berkata, “tohmahan” yang dilakukan ADUN Pelabuhan Klang itu tidak berasas memandangkan kerajaan negeri masih mengamalkan dasar tender terbuka.

Bagaimanapun, Azmin ( bawah ) menjelaskan pelaksanaan yang dilakukan kerajaan negeri kini menggunakan dasar tender terendah yang masih menggunakan elemen value for money (berbaloi).

"Saya kira (ADUN) Pelabuhan Klang boleh buat tohmahan itu dan yakinkan Umno dan Barisan Nasional. Saya kira jawapan saya jelas dan terang. Tohmahan itu tidak berasas sama sekali.

"Untuk tujuan rekod, dasar yang digantikan ialah dengan menggunakan dasar penilaian perolehan berdasarkan cut off . Saya tegaskan, dasar baru ini masih tetap tender terbuka. Yang membezakannya (dengan dasar sebelum ini) adalah kaedah pengiraan sistem cut off .

"Elemen value for money masih lagi digunapakai. Dakwaan itu terpesong dan beri kesan negatif terhadap kerajaan negeri. Dasar baru yang dibuat kerajaan negeri ini berdasarkan masalah yang dihadapi terutamanya mengenai projek yang "sakit"," kata Azmin.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berhubung dasar tender terendah yang digunapakai oleh kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Semalam, Khalid mengkritik pentadbiran Azmin yang didakwanya menamatkan dasar sistem tender terbuka yang bertujuan untuk menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa.

' Berani buat keputusan'

Azmin berkata sistem tender terendah dengan melaksanakan penilaian perolehan secara "cut off" ialah satu sistem yang akan digunakan kerajaan negeri dengan memilih 10 tender harga terendah serta julat harga itu tidak melebihi 20 peratus.

Justeru, katanya, kenyataan Khalid yang mengatakan kerajaan negeri jimat sehingga RM100 juta setahun apabila menggunakan kaedah tender terbuka juga tidak berasas kerana nilai projek "sakit" di Selangor perlu dibaikpulih melebihi jumlah itu.

"Projek yang sakit walaupun hanya melibatkan 18 projek tetapi nilainya melebihi RM100 juta. Di mana penjimatan RM100 juta setahun? Sedangkan projek itu kena nilai semula dan melebihi RM100 juta," katanya.

Menjawab soalan Abdul Rani Othman (PAS-Meru) berhubung penamatan projek lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex), Azmin berkata, walaupun baru menjadi menteri besar, namun beliau bersyukur kerana berani membatalkan projek tersebut.

Dengan nada sinis, ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata seorang pemimpin diukur berdasarkan keupayaannya membuat keputusan dan bukan sentiasa mengambil jalan selamat.

"Isu lebuhraya Kidex ini telah berlanjutan sekian lama, dan saya bersyukur kehadrat Allah dalam tempoh yang singkat saya diberikan amanah setelah mendapat pandangan daripada ahli parlimen dan ahli-ahli dewan negeri di kawasan berkenaan dan mendengar mendapat maklum balas daripada beberapa pihak

"Kita telah membuat keputusan untuk membatalkan pembangunan Kidex ini. Kredibiliti dan integriti seorang pemimpin diukur diatas keupayaan membuat keputusan dan berani membuat keputusan.

"Pemimpin tidak boleh diukur apabila dia tidak berani membuat keputusan, dan sentiasa mengambil jalan selamat. Itu ukur seseorang pemimpin," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In