Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cabaran negara tangani masyarakat warga tua
Diterbitkan:  Apr 3, 2015 3:24 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Peningkatan bilangan warga tua yang tidak diimbangi dengan bilangan penduduk muda dan dewasa mencetuskan pelbagai cabaran bagi persekitaran ekonomi dan sosial sesebuah negara.

Antaranya peningkatan kadar penuaan dalam kalangan penduduk boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Di Barat, misalnya, selain kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi, peningkatan bilangan warga tua juga dilihat sebagai satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan awam.

Kebimbangan ini ada asasnya. Ketidakseimbangan dalam peningkatan warga tua yang tidak bekerja berbanding dengan golongan penduduk yang aktif bekerja akan menyebabkan kos perbelanjaan pencen serta perubatan dan penjagaan meningkat.

Sesebuah negara mencapai status menua apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk terdiri daripada mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Berdasarkan takrifan yang digariskan oleh Dasar Warga Emas Negara, warga tua atau warga emas ialah mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Profesor Dr Noor Azina Ismail pembangunan sosio-ekonomi telah menyebabkan penurunan fertiliti yang pesat sejak 1980-an.

"Faktor penurunan kadar kesuburan berkenaan secara relatifnya telah menyebabkan kadar pertumbuhan penduduk menurun setiap tahun manakala kadar pertumbuhan penduduk berumur lebih 60 tahun terus meningkat.

"Secara relatifnya ia mengurangkan jumlah penduduk muda dan pada masa yang sama menyebabkan nisbah warga tua dalam komposisi keseluruhan penduduk meningkat," jelas beliau.

Menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam ucapan perasmian Persidangan Meja Bulat IKIM berjudul Realiti Masyarakat Menua: Punca dan Cabarannya Di Malaysia; masalah penuaan ini bukan sahaja menjadi satu kebimbangan kepada pihak pemerintah dan pembuat dasar semata-mata.

"Ia turut mengundang kebimbangan dalam kalangan mereka yang berusia itu sendiri berikutan beberapa cabaran yang perlu mereka tempuhi dalam mengharungi kehidupan pada usia emas."

Cabaran-cabaran itu merangkumi aspek kewangan, sosial, fizikal dan psikologi.

Cabaran kewangan timbul terutamanya kepada mereka yang tidak ada simpanan atau pencen yang mencukupi untuk menyara hari tua mereka.

Di Malaysia masalah yang berkaitan dengan kecukupan simpanan untuk persaraan dalam kalangan mereka yang bakal bersara boleh dianggap membimbangkan. Keperluan tempat tinggal bagi yang menyewa, makan minum serta perubatan adalah antara beberapa perkara asas yang memerlukan peruntukan kos yang besar.

Dalam konteks semasa, masalah kewangan pada usia emas boleh menambah tekanan kepada golongan berusia kerana kekangan ini boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan kesukaran dalam menghabis sisa-sisa riwayat mereka.

Penuaan adalah satu proses mencabar. Cabaran ini bukan terhad kepada warga emas sahaja malah ia turut memberi tempias kepada orang di sekelilingnya.

Satu laporan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) menyatakan bahawa 90 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung gaya hidup yang ringkas untuk tempoh lima tahun selepas bersara.

Menurut Nik Mustapha cabaran penuaan turut memberi tempias kepada orang di sekeliling mereka.

"Tempiasnya turut dirasai mereka yang tinggal bersama serta menguruskan warga emas yang menderita demensia iaitu penyakit yang berkaitan dengan kemerosotan ingatan dan kemahiran berfikir untuk melakukan rutin harian."

Selain menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran, satu lagi cabaran yang dihadapi sebahagian daripada warga emas adalah sindrom "empty nest" iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian kerana berjauhan dengan anak.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat oleh LPPKN yang dipadankan dengan hasil banci penduduk dan perumahan 2010 mendapati kira-kira 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia mengalami sindrom 'empty nest' ini.

Masyarakat di negara ini perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi keadaan apabila Malaysia mencapai status negara warga emas (negara menua), yang dijangka berlaku pada 2030.

Antara yang disarankan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga, Hairil Fadzly Md Akir ialah memperkukuhkan nilai keagamaan dan sivik agar anggota keluarga mempunyai sahsiah yang tinggi untuk menjaga dan mengasihi ibu bapa yang tua.

Selain menggalakkan kehidupan warga emas yang sihat dan aktif, mereka disaran menabung dan memiliki instrumen perlindungan kesihatan seperti Takaful.

- Bernama

Lihat Komen
ADS