Exco Sukan Amirudin Shari mempersoalkan pihak yang mengkritik penggunaan slogan “#KitaLawan” yang akan digunakan pasukan Selangor dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun depan.
Menurut Amirudin, perkara tersebut sepatutnya tidak menjadi sebarang permasalahan memandangkan pada 2008, kerajaan Persekutuan menggunakan slogan "Sukan Gemilang, Negara Terbilang".
Slogan itu seakan-akan sama dengan manifesto BN pada tahun tersebut iaitu "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang".
"Jika pembangkang (BN) mahu mengkritik dan mengatakan (slogan itu) ada makna politik, saya ingin nyatakan di sini bahawa slogan yang digunakan pada 2008 selepas kami (Pakatan) memenangi negeri ini ialah 'Sukan Gemilang, Selangor Terbilang'.
"Pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) mengumumkannya dan semasa itu juga slogan BN ialah 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang'.
“Tetapi semasa itu tak ada isu pun dengan perkara itu dan kita tetap gunakannya," kata ADUN Batu Caves itu semasa memberi ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Pembangunan sukan
Selain itu, Amirudin berkata lagi, slogan tersebut sepatutnya tidak menjadi isu memandangkan apa yang menjadi keutamaannya ialah untuk membangunkan sukan negeri.
"Ada yang mengkritik supaya moto ini ditukar daripada Kita Lawan kepada Lawan Sampai Menang.
"Jadi adakah ini bermakna selepas ini kita tak boleh guna perkataan 'lawan'?
"Apa yang penting adalah pembangunan sukan. Kami mahu beri tumpuan kepada pembangunan sukan. Jangan terlalu sensitif tentang perkara ini. Saya tidak mahu membawa ini sebagai isu politik 100 peratus," katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak mengkritik tindakan kerajaan negeri yang ingin menggunakan slogan #KitaLawan yang didakwa sebagai berbaur politik.
Kita Lawan merupakan slogan bagi kumpulan aktivis yang mengadakan perhimpunan setiap hari Sabtu di Kuala Lumpur sejak ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 10 Februari lalu.
Kini, ia berkembang daripada satu kumpulan yang mendesak Anwar dibebaskan menjadi pergerakan yang mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipecat, dan juga pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
