BERITA

Anwar iringi jenazah bapa, laungan takbir bergema

Team Malaysiakini

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Apr 2015, 12:31 tengahari

Bapa kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggal dunia awal pagi ini, demikian menurut Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau dibenarkan keluar daripada penjara Sungai Buloh untuk menghadiri pengebumian itu.

Malaysiakini membawakan laporan terkini mengenainya.


3.20pm: Selepas selesai majlis pengebumian itu, Anwar diiringi pengawal penjara ke pacuan empat roda untuk dibawa pulang ke penjara.

Bagaimanapun, sewaktu Anwar diiringi keluar, berlaku tolak menolak kecil antara hadirin dan anggota keselamatan.

Sementara itu, penyokongnya pula melaungkan "reformasi", "takbir" serta "lawan tetap lawan".

Anwar kemudian menyambut laungan itu dengan mengangkat tangan dan melambai ke arah hadirin sebelum meninggalkan tanah perkuburan itu.

2.45pm: Hujan renyai mulai turun. Jenazah selamat dikebumikan sementara talkin dan doa dibacakan.

Anwar duduk bersama ahli keluarganya depan pusara di bawah khemah yang disediakan sambil diperhatikan oleh anggota polis pengawal penjara. Seramai 400 orang berada di tanah perkuburan.

2.30pm: Jenazah Ibrahim kemudiannya diturunkan ke dalam liang lahad. Sementara Anwar pula berada di depan liang bapanya itu.

Selepas itu, beberapa ahli keluarga dan orang ramai mengambus tanah ke dalam liang, sambil diperhatikan Anwar.

2.20pm: Seramai 400 orang mengiringi jenazah Ibrahim ke Tanah Perkuburan Sungai Ramal. Kira-kira 18 anggota pengawal penjara mengiring ketua pembangkang itu ke tanah perkuburan.

2.10pm: Pengawal penjara yang bersenjata mengiringi Anwar bersama pasukan konvoi penjara.

Mereka akan berlepas bersama dengan van yang membawa jenazah bapa Anwar ke tanah perkuburan.

Berlaku tolak menolak sejurus beliau keluar daripada rumah ketika melalui di tengah hadirin, sementara pengawal penjara pula segera mengelilinginya.

Sebaik sahaja Anwar memasuk ke dalam pacuan empat roda, para hadirin melaung 'takbir'.

1.50pm: Selepas menunaikan solat Zohor, Anwar menunai solat jenazah buat kali kedua, sebelum jenazah bapanya dibawa ke tanah perkuburan.

1.30pm: Jemaah mendirikan solat Zohor yang dimamkan oleh bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Amin Bahron.

Anwar yang bersongkok hitam berada di saf pertama. Jenazah Ibrahim berada di sebelahnya.

Malaysiakini dimaklumkan oleh anggota keluarga Anwar bahawa jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan selepas ini.

1.00pm: Anwar bersama kira-kira 80 hadirin lain menyempurnakan solat jenazah buat kali pertama. Solat kali pertama diimamkan oleh bekas presiden NGO ABIM, Razali Nawawi.

Oleh kerana ruang yang terhad, jemaah lain pula mengadakan solat jenazah buat kali kedua, yang diimamkan oleh pendakwah bebas, Abdullah Yassin.

Menurut ahli keluarga Anwar, ketua pembangkang itu dijangka menjadi imam solat Zohor.

12.40pm Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Husam Musa turut hadir.

Sekalipun ramai tetamu mengambil kesempatan bertemu dengan Anwar, ketua pembangkang itu dikawal ketat oleh pengawal penjara.

12.35pm: Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengucap ribuan terima kasih kepada pihak penjara dan menteri dalam negeri yang membenarkan Anwar keluar daripada penjara.

"Anwar tidak bernasib baik apabila melihat kedua-dua ibu bapanya meninggal sewaktu dalam penjara.

"Ketika ibu beliau meninggal dunia, beliau berada dalam penjara sebelum ini, dan dibenar keluar untuk memberi penghormatan terakhir.

"Jadi inilah tindakan yang betul dan kami berterima kasih kepada pihak penjara dan menteri dalam negeri," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir.

12.24pm: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tiba bersama suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail. Tidak lama selepas itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula sampai.

12.10pm:   Sesudah doa dibacakan, Anwar yang memakai baju melayu putih, dilihat memeluk anak-anaknya.

Anwar kelihatan sedikit kurus namun tenang. Manakala Wan Azizah yang turut berada di situ dilihat mengalirkan air mata.

11:50am: Seramai 60 tetamu berada dalam rumah bapa Anwar sedang membacakan doa. Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Sungai Ramal selepas Zohor.

11.40pagi: Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon tiba di kediaman bapa Anwar bagi memberikan penghormatan terakhir.

"Saya mengenai beliau (Ibrahim) sejak saya menuntut di universiti kerana beliau (ketika itu) adalah anggota parlimen.

"Saya mengenali beliau sebelum saya mengenali Anwar. Sudah 40 tahun," katanya.

Ibrahim pernah menjadi ahli parlimen Seberang Perai Tengah antara tahun 1959 dan 1969.

11.13am: Turut hadir memberi penghormatan Ketua Pegawai eksekutif AirAsia Tony Fenandes.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi sebarang komen. Sementara itu, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib tiba untuk mengunjungi dan memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Beliau pernah menjadi orang kuat dalam Umno dan juga rapat dengan Anwar.

Beberapa pemimpin PKR turut hadir antaranya Datuk Johari Abdul, N Surendran dan Latheefa Koya.

10.49am: Dr Mahathir telah beredar tetapi isterinya Tun Siti Hasmah Ali masih berada di situ.

Siti Hasmah menyifatkan bapa Anwar seorang yang baik.

"Kami mengenali Pak Ibrahim sejak sekian lama, sebelum Azizah (berkahwin dengan Anwar)," katanya kepada Malaysiakini .

10:46am: Wajah sedih kelihatan pada Anwar Ibrahim yang tiba di kediaman ayahnya di Kajang.

Beliau diapit oleh lebih sepuluh pengawal penjara, antaranya bersenjatakan semi-automatik.

Anwar memasuki rumah itu dan ada beberapa individu yang berkabung berjabat tangan dengannya malah ada yang memeluknya.

Dua pengawal penjara yang bersenjata berdiri di luar rumah manakala yang lain mengiringi Anwar masuk.

Terdahulu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba untuk memberi penghormatan terakhir.

9.02am: Dr Wan Azizah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan bahawa Anwar dibenarkan untuk menghadiri pengebumian bapanya di Kajang hari ini.

"Menteri Dalam Negeri memberi keizinan, tetapi kami tidak pasti pukul berapa beliau dibenarkan keluar (dari penjara)," katanya.

"Para peguam sedang mengurus perinciannya," katanya lagi.  

Dr Wan Azizah memendekkan urusan beliau di Pulau Pinang dan sedang dalam perjalanan ke Kajang ketika ini bagi membuat persediaan majlis pengebumian itu.

ADUN Kajang itu berkata beliau dimaklumkan bahawa bapa mertuanya Ibrahim Abdul Rahman kira-kira jam 2 pagi, selepas disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi di Hospital Kajang.

Jenazah Ibrahim akan dibawa ke rumah di Country Heights, Kajang hari ini untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Ramal selepas Zohor.

Menurut maklumat terbaru daripada pihak yang dekat dengan Anwar, beliau akan tiba sebelum tengahari.

Anwar dihukum penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk memihak kepada rayuan kerajaan terhadap keputusan pembebasan beliau dalam kes liwat II.

Keluarga beliau memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan sedang menunggu keputusan akhir mengenai petisyen itu.

Bagaimanapun, kerusi Permatang Pauh diisytihar kosong pada Rabu selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa permohonan pengampunan diraja ditolak sekalipun peguam Anwar mempertikaikannya.


Laporan oleh Susan Loone, Nigel Aw and Anne Muhammad.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.