Most Read
Most Commented
Read more like this

Versi terkini Seramai tujuh orang penjual majalah, kaset ceramah pembangkang dan cakera padat video (VCD) reformasi ditahan polis petang semalam di beberapa tempat di Kuala Lumpur.

Barang-barang jualan turut dirampas.

Operasi yang bermula sekitar jam 4 petang itu dipercayai melibatkan bahagian kawalan penerbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sumber tidak rasmi menyebutkan operasi itu dibuat serentak di sekitar Wisma Yakin dan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurut sumber yang sama, daripada jumlah itu dua wanita turut ditahan. Mek Nab Man dan Norazah Ahmad bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 2 pagi tadi.

Mereka yang ditahan dibawa ke Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah dan semua tahanan lelaki ditempatkan di lokap Balai Polis Jalan Stadium.

Nama-nama yang ditahan ialah: Zakaria Mohd Nor, Azmi Bidin, Ashaari Abdul Rahman, Mohd Akmal Zuhdi Khalil dan Muhamad Abdullah.

Siasatan akta penerbitan

VCD yang menjadi sasaran pihak berkuasa dipercayai melibatkan pendedahkan konspirasi politik dalam perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang diterbitkan oleh sebuah stesen penyiaran di Australia beberapa bulan lalu.

Satu lagi VCD yang turut menjadi sasaran dikatakan rakaman video perhimpunan pembangkang di Lebuhraya Kesas pada 5 November lalu, termasuk adegan bagaimana anggota polis memukul seorang penyokong reformasi.

Sementara penerbitan propembangkang yang dirampas termasuklah akhbar Roket yang diterbitkan DAP dan majalah Debat, dipercayai tidak mempunyai permit KDN.

Kaset-kaset ceramah ahli-ahli politik Barisan Alternatif yang biasanya dijual secara meluas turut dirampas.

Menurut Mek Nab, beliau ditahan berhubung siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 atau kesalahan memiliki, menjual dan mengedarkan bahan-bahan tanpa lesen KDN.

Seseorang yang didapati bersalah di bawah seksyen ini boleh dikenakan penjara tidak melebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Ketika dihubungi malaysiakini tadi, beliau berkata lebih kurang 200 keping VCD dan kaset jualan beliau dirampas dan polis memberitahu barangan itu tidak akan dipulangkan.

Malaysiakini gagal mendapatkan pengesahan rasmi polis setakat ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS