Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyifatkan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin sebagai terlalu ghairah dalam mengeluarkan kenyataan yang memintanya supaya meletak jawatan.
Beliau berkata Ahmad sepatutnya menunggu sehingga kenyataan rasmi dibuat oleh Umno Kedah pada 24 April depan tentang sokongan terhadap perdana menteri selepas satu mesyuarat oleh pemimpin-pemimpin Umno negeri di ibu negara.
"Kami telah bersetuju sesama kami, jangan ada apa-apa kenyataan (sebelum 24 April). Kami hendak satu kenyataan bersifat konsensus dalam kalangan semua anggota Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.
"Nampaknya Ahmad Lebai (Sudin) agak ghairah sangat, dia keluarkan kenyataan sebelum kami keluarkan kenyataan rasmi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Integrity Global Champions di Kubang Pasu hari ini.
Semalam, ADUN Bukit Lada itu meminta Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya gagal menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mukhriz berkata pandangan semua pihak perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi tentang sokongan terhadap perdana menteri dan berharap semua pihak sabar menunggu 24 April ini.
Katanya ada beberapa negeri lagi yang masih belum membuat kenyataan sokongan dan tidak timbul soal untuk mengeluarkan kenyataan secara tergesa-gesa, katanya.
"Saya harap semua tunggu, 10 hari saja lagi, kita pertimbangkan pandangan semua pihak, perbincangan kita kelmarin pun adalah bertujuan mendapat pandangan semua pihak, itu sebabnya kita tangguhkan dulu kenyataan rasmi oleh negeri Kedah," katanya.
Ditanya mengenai tindakan Ahmad Lebai yang ingin mengadakan satu perjumpaan khas tanpa Mukhriz bagi membincangkan sokongan mereka kepada Najib sekiranya Mukhriz masih berdiam diri, beliau berkata:
"Saya doakan Allah SWT membuka hati Yang Berhormat Ahmad Lebai Sudin, semoga sihat sejahtera, mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT," katanya.
-Bernama
