Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kedatangan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh telah menyuntik nafas  baru dalam Pakatan Rakyat apabila barisan pemimpinnya turun di Guar Perahu malam tadi untuk melancarkan jentera pilihan raya kecil gabungan tersebut.

Pakatan pembangkang itu, yang dianggap oleh banyak pihak telah berpecah kerana ketegasan PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud, menyaksikan barisan pemimpinnya hadir malam tadi tanpa menunjukkan sebarang tanda permusuhan.

Malam tadi, semuanya dilupakan kerana DAP dan PAS berikrar untuk turun berkempen dalam pilihan raya itu yang akan bermula selepas penamaan calon pada 25 April.

MP Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusuf Rawa yang mewakili PAS - dalam ucapannya - memberi jaminan bahawa PAS "101 peratus" di belakang calon PKR.

Beliau menolak dakwaan bahawa PAS bersekongkol dengan Umno, kerana Umno menyokong langkah parti itu untuk melaksanakan pindaan kepada kanun jenayah syariah di Kelantan.

Mujahid juga menyangkal laporan media yang mendakwa PAS telah diminta membantu Umno di Permatang Pauh.

Sebaliknya, Mujahid berkata, PAS tetap komited dengan rakan sekutunya dalam Pakatan.

Air mata Wan Azizah
 
Jentera pilihan raya kecil Pakatan dilancarkan dengan kibaran bendera ketiga-tiga parti dalam Pakatan dan pengisytiharan awam untuk meneruskan gerakan Reformasi.
 
Kedua-dua ketua kerajaan Pakatan - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merangkap setiausaha agung DAP dan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali selaku timbalan presiden PKR, turut hadir di majlis malam tadi.
 
Bagaimanapun, tumpuan ialah pada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang disebut-sebutkan akan dipilih sebagai calon partinya untuk bertanding di Permatang Pauh.
 
Mengiringi beliau adalah barisan pemimpin Pakatan dari negeri-negeri.
 
Beliau menggesa pengundi membantu PKR mengekalkan kerusi itu yang menurutnya telah dirampas secara tidak adil dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Suaminya kehilangan kerusi tersebut selepas keluarganya gagal dalam permohonan pengampunan terhadap sabitan tuduhan liwat ke atas Anwar dan hukuman penjara lima tahun pada 10 Februari lalu.

Tarikh hari ini, yang digelar Black 14, juga merupakan hari simbolik bagi PKR kerana ia adalah hari Anwar dihukum penjara atas sabitan tuduhan penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengan tuduhan liwat pertama terhadapnya pada tahun 2001.

Azmin: Kami tidak berpecah

Dalam ucapannya, Azmin gembira kerana DAP dan PAS komited untuk membantu PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil pada 7 Mei ini.

Katanya, inilah yang ditakuti BN dan Umno takut apabila Pakatan bersatu.

"Kami tidak berpecah. Kami hanya mempunyai satu musuh, iaitu BN dan Umno," Azmin.

Lim pula mengingatkan hadirin bahawa Anwar tetap menjadi calon perdana menteri pilihan Pakatan.

"Jangan berfikir hanya kerana beliau berada dalam penjara, beliau tidak dapat jadi PM," katanya sambil menambah bahawa beliau juga pernah dipenjarakan, tetapi "siapa tahu saya akan jadi ketua menteri sekarang?".

Lim juga memberi amaran tentang kemungkinan wujud politik wang dalam kempen tetapi berkata "semangat rakyat adalah lebih kuat daripada tarikan wang".

Sementara itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin, yang menjadi pengacara malam tadi, mengumumkan slogan PRK itu: "Demi Rakyat, Bantah GST".

GST adalah singkatan bagi cukai barangan dan perkhidmatan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan mulai 1 April.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS