BERITA

Siapa nak dengar suara kami, kata Che Ta

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Apr 2015, 11:06 tengahari

Lebih ramai artis tampil menyatakan sokongannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan “berseorangan” selepas mengkritik keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain penyanyi Siti Nurhaliza, pelakon, model dan pengacara Rozita Che Wan turut sama menyatakan sokongan terbukanya kepada Mahathir, perdana menteri keempat, yang berkhidmat lama 22 tahun.

“Tun tidak keseorangan... kami sentiasa teguh di belakang...,” kata jelitawan 42 tahun itu di laman perkongsian gambar Instragram.

Gambar sama turut dikongsi oleh Siti Nurhaliza dan mendapat perhatian besar dengan belasan ribu orang yang telah menekan butang “like”.

Mahathir pada 13 April mengeluh dalam blognya bahawa beliau keseorangan ketika membangkitkan kritikan terhadap kepimpinan Najib.

Beliau bagaimanapun menegaskan kritikannya dalam isu Altantuya Shaariibu dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibuat atas rasa tanggungjawabnya kepada rakyat.

Dalam tulisan sama, Rozita yang lebih dikenali sebagai Che Ta bagaimanapun mengeluh, sebagai orang biasa, mungkin tiada sesiapa yang mendengar suara mereka.

“Tapi kami ini orang marhaen siapa nak dengaq soqa (dengar suara) kami,” katanya dalam loghat Utara dengan lambang emosi sedih.

Rozita, yang terkenal dengan lakonannya dalam drama Kiah Pekasam dan pengacara Primadona , rancangan bual bicara berkaitan wanita, berasal daripada Alor Setar yang juga tempat kelahiran Mahathir.

Bukan sahaja menyatakan dukungan kepada Mahathir, Rozita juga malah menyatakan kebencian terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April lalu.

Beliau menyatakan bantahan halus itu melalui penggunaan hashtag #bencigst di samping #sayaanakmalaysia , #welovetun dan #tundrmahathirmohammad.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.