MCA menganggap garis panduan konsert dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memisahkan penonton mengikut jantina dianggap tidak adil dan kurang berkesan.
Naib presidennya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, garis panduan terbaru itu tidak menggambarkan pembangunan industri hiburan dan kreatif negara.
"Memaksakan kawalan ketat ekoran insiden di sebuah konsert K-Pop tidak berkesan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Jakim menyatakan, garis panduan itu dibuat sebagai langkah mengelak insiden penyanyi Korea Selatan memeluk dan mencium seorang wanita bertuduh di atas pentas sebelum ini.
Selain mengasingkan penonton lelaki dan perempuan ketika konsert, Jakim meletakkan syarat percampuran lelaki perempuan juga dilarang ketika latihan atau raptai.
Garis panduan itu dilaporkan diperakui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Februari lalu.
Penganjur juga mesti mengelak daripada memasukkan sebarang unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan Islam.
Menurut Chew, mengasingkan penonton mengikut jantina akan mengurangkan interaksi dan persaudaraan semasa orang ramai.
Katanya, seseorang menghadiri konsert tanpa niat jahat dan biasanya mereka datang bersama keluarga atau rakan.
"Walaupun kita mengiktiraf kuasa pihak yang berkenaan mahu menjaga akhlak di kalangan penganut Islam, dasar itu tidak sepatutnya memberi kesan kepada orang bukan Islam yang mahu berseronok melalui konsert," katanya.
