Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam menghidupkan semula kes saman bekas Ahli Parlimen Beruas berhubung pembayaran pencennya sebagai ahli parlimen selama dua penggal.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan rayuan Su Liang Yu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman pemulanya terhadap Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen), Ketua Pentadbiran Parlimen dan kerajaan Malaysia.

Beliau turut menghantar balik kes itu ke Mahkamah Tinggi Ipoh dan didengar di hadapan seorang hakim lain.

Mohd Zawawi, yang bersidang bersama-sama Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan kes di mahkamah tersebut.

Beliau juga mengarahkan pihak responden memfailkan afidavit jawapan kepada saman pemula yang dikemukakan oleh Su dalam masa sebulan.

Dalam saman pemula, Su menyatakan beliau adalah bekas Ahli Parlimen Beruas di Perak untuk dua penggal dari 1969 hingga 1978 dan bersara daripada politik selepas tewas pada Pilihan Raya Umum 1978.

Beliau berkata sebaik mencecah usia 50 tahun, beliau menerima pencen bulanan sebanyak RM1,500.

Bagaimanapun, Su mendakwa pada April 1986, pihak responden menghentikan bayaran pencen atas alasan beliau tidak lagi layak mengikut Perkara 48 91)(e) Perlembagaan Persekutuan selepas disabitkan atas kesalahan jenayah dan dihukum denda RM2,000 oleh mahkamah.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000 dan tidak menerima pengampunan.

Su berkata pada 30 Jun 2011, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas dihukum denda RM2,000 oleh mahkamah kerana menghalang tugas polis ketika menghadiri demonstrasi.

Speaker Dewan Rakyat itu berkata kelayakan ahli Parlimen itu hanya lucut jika dia didenda melebih RM2,001.

Berikutan perkembangan terbaru itu, Su berkata beliau menulis surat kepada pihak responden bagi mengembalikan semula pembayaran pencen tetapi ia ditolak.

Beliau mendakwa tindakan responden untuk menghentikan pembayaran pencen bulanannya adalah tidak sah.

Su membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak responden untuk membatalkan saman pemula atas alasan beliau perlu memfailkan tindakan melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

Su diwakili oleh peguam Edmund Bon dan Stephen Su manakala pihak responden oleh Peguam Kanan Persekutuan, Maisarah Juhari.

- Bernama

Lihat Komen
ADS