Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mencadangkan agar satu badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar profesional dilantik oleh pihak berkuasa bagi menyiasat dua punca kejadian paip
air pecah bulan ini di kawasan pembinaan projek MRT di Bukit Bintang.
Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS Priscilla Alfred berkata dua kejadian paip pecah itu masing-masing berlaku pada 16 April dan 17 April dengan kedua-duanya pada jajaran paip yang sama.
Pemeriksaan SYABAS mendapati jajaran paip itu berada kira-kira enam meter dari lokasi korekan tanah bagi kerja-kerja pembinaan MRT dengan kedalaman sehingga 40 meter.
Justeru itu, katanya, SYABAS mengesyaki bahawa insiden itu mungkin disebabkan oleh pergerakan tanah yang berpunca daripada kerja-kerja korekan dari kawasan pembinaan.
Priscilla berkata hasil siasatan dan kajian itu dapat menjadi panduan bagi mengelakkan insiden yang sama daripada berulang pada masa depan.
Dalam kejadian pada 16 April lalu, laluan sepanjang 100 meter di Jalan Bukit Bintang ditutup dan trafik dari Jalan Tun Razak ke arah pusat beli-belah Pavillion telah dilencongkan ke Jalan Imbi.
Sementara itu, Priscilla berkata beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat melibatkan 21,178 pengguna semalam mengalami gangguan bekalan air ekoran operasi Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 terpaksa dihentikan sementara sejak pukul 9.30 pagi.
Runtuhan tanah yang disebabkan oleh kerja-kerja mengorek oleh pihak ketiga kira-kira dua kilometer dari muka sauk loji itu menyebabkan aliran air di sungai itu berkurang sehingga sistem pengepaman air mentah loji berkenaan terhenti.
"Bagaimanapun, bekalan itu dijangka pulih secara berperingkat bermula pukul 7 malam ini," katanya dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan.
Antara kawasan terlibat adalah Kawasan Perindustrian Cheras Jaya, Taman Impian Ehsan Seri Kembangan, Taman Desa Karunmas Seri Kembangan, Kampung Baru Balakong, Taman Kasturi Cheras, Taman Sri Indah Cheras, Taman Bukit Emas, Taman Cheras Jaya, Taman Impian Indah, Taman Taming Indah, Taman Sejati, Taman Seri Sungai Long, Taman Bukit Sungai Long, Rumah Kenangan Cheras, Taman Dutamas.
Selain itu Taman Setia Kasturi Cheras, AEON Cheras Selatan, Taman Industri Balakong Jaya, Taman Setia Balakong, Taman Sinaran, Kawasan Perniagaan Desaria Seri Kembangan dan Taman Bukit Sungai Long turut mengalami gangguan.
Dalam pada itu, Alfred berkata, pihak Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) yang juga pengendali Empangan Sungai Langat telah meningkatkan pelepasan air mentah dari empangan ke Sungai Langat kepada 302.2 juta liter daripada jumlah kebiasaan 220 juta liter bagi membantu mempercepatkan alian sungai ke paras
normal.
- Bernama
