Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Dalam kehidupan Muslim awal, Islam klasik telah diungkapkan bukan hanya melalui tafsir, kalam dan fatwa tetapi juga melalui pendekatan risalah ilmiah dan risalah moral sama ada melalui bacaan sastera ataupun puisi.

Bagaimanapun, penting untuk dicatatkan bahawa menurut Tarif Khalidi dalam The Muslim Jesus penampilan Isa dalam al-Quran berbeza seperti Jesus dalam Injil kerana ia ditujukan kepada kaum yang keras dan peringatan kepada kaum yang menderhaka.

Penolakan Al-Quran terhadap Isa sebagai anak tuhan juga dimaknai dalam kerangka monoteisme dan melalui pengalamannya berhadapan dengan politeisme Arab.

Begitu juga tentang triniti, para Muslim reformis sukar menerima dakwaan tentang persoalan fundamental teologi ini yang mengatakan Jesus sebagai anak tuhan.

Syeikh Abduh, yang menekankan rasional dalam kepercayaan Islam juga keras mengkritik ketaatan buta Kristian terhadap pentafsiran.

Abduh dalam karyanya Al-Islam wal Nasraniyyah cenderung melihat Islam sebagai agama yang berpegang wahyu dan rasional manakala Kristian sebagai agama berpegang dengan perkara tidak rasional.

Seperti juga Abduh, anak muridnya Rashid Rida keras mengkritik beberapa ajaran fundamental dalam Kristian yang menyimpang bermula oleh Paulus dengan ajaran tentang salib, pengampunan dan triniti.

Menurut Rida, konsep ketuhanan Jesus jelas sekali tersasar dengan konsep tauhid. Rata-rata sebahagian reformis tidak menerima segala doktrin ajaran Kristian ini.

Kesulitan ini memberi cabaran kepada para reformis untuk menyelesaikan perbezaan teologi dalam usaha kemajuan dialog Kristian-Muslim.

Perbezaan tentang konsep Tuhan di kalangan Kristian-Muslim bukanlah perkara yang tidak boleh didamaikan antara dua tradisi ini.

Sebaliknya perbezaan dua tradisi ini hanya berbicara tentang keesaan Tuhan dan perbezaan dalam cara mengungkapkannya.

Doktrin teologi Kristian nyata ditolak dalam wacana Al-Quran sama ada ia ditafsirkan dalam wacana klasik mahupun moden. Tafsiran Tuhan tidak dapat diharmonikan dalam konsep teologi Kristian.

Namun para reformis telah memperjelaskan wacana teologi ini dalam nada yang mendamaikan dan lebih jujur melalui dialog.

Ini kerana, bagi para reformis moden, usaha menolak pemisahan jurang dua tradisi ini adalah perkara yang mesti dimajukan.

Tafsir ulang, wacana Muslim-Kristian

Sememangnya berlakunya polemik seperti dalam diskusi di atas tetapi bagaimana para Muslim reformis menguruskan perbezaan polemik ini dalam proses dialog?

Perbincangan teologi antaranya tentang triniti, pengampunan dosa dan kematian Jesus adalah diskusi yang gagal diuruskan dalam wacana kehidupan bersama moden kini.

Abbas Mahmud al-Aqqad, antara sarjana yang menitikberatkan wacana kedua tradisi ini dengan memfokuskan perihal hati nurani manusia.

Ini boleh dilihat dalam kitab Abqariyyat al-Masih, antara karya yang memfokuskan kebenaran hati nurani.

Di sini, beliau meletakkan tumpuan kepada proses penghayatan agama dan erti pentingnya moraliti peribadi dalam masalah etika. Beliau menghubungkan tumpuan ini kepada Kristus sebagai pejuang hukum cinta dan hati nurani kepada sebuah pentafsiran Islam dengan fokus yang serupa pada hati manusia.

Wacana ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang baik dalam Islam dengan konsep hati nurani yang ditunjukkan oleh Jesus.

Kecenderungan diskusi moden dan wacana abad kini untuk memastikan usaha pendamaian mesti dilakukan dan bukan membangkitkan perpecahan dalam dua tradisi ini.

Antara para sarjana yang menguruskan pentafsiran kembali ini ialah Al-Syahrastanai, pada abad ke-10.

Menurut terjemahan W M Watt dalam Kitab Al-Milal wal Nihal , usaha itu dianggap menunjukkan ajaran Islam mengutamakan kedudukan Jesus di kalangan para nabi dan menghindari tumpuan ke atas frasa “anak tuhan”.

Secara teologi, kaum Kristian ataupun Muslim tidak mudah bersatu dalam pengakuan doktrin kepercayaan. Namun, secara realistik dari hasil usaha dialog kedua tradisi ini adalah memahami dan menghargai sikap inklusif dari yang lain. Konsep wahyu sebagai peristiwa yang inklusif adalah tema utama dalam kemajuan dialog.

Persoalan teologi mestilah dibezakan apabila beralih kepada persoalan sosial dan interaksi antara gama. Sebab itu lah golongan Muslim Reformis cenderung menjelaskan ayat inklusif dan menentang pentafsiran Islam yang antitoleransi dan menggugat kepercayaan agama yang berbeza.

Tradisi Islam awal menunjukkan sumbangan teks Jesus banyak mempengaruhi kehidupan bersama antara Kristian dan Muslim.

Jadi hubungan antara manusia dan kerjasama dengan bukan Islam tanpa melihat agama, ras dan budaya harus dibangun atas dasar prinsip umum seperti kesetaraan, kebaikan dan keadilan.


MOHD SYAZREEN ABDULLAH felo di Lingkaran Islam Tradisional (LIT).


Bahagian 1: Jesus dalam tradisi Islam awal
Lihat Komen
ADS