Lat seorang kartunis yang terkenal dengan 'kampung boy' dan lama mengkhidmati akhbar New Straits Times . Beliau kini mengingati saat-saat kenangan dan memorinya cukup kaya.
Sebab itu, lukisan Lat mempunyai nilai nostalgia, kalaupun tidak nilai sejarah, terhadap zaman kecilnya. Ya, Lat memang seorang pengamat yang tajam.
Untuk mendakwa Lat sebagai penyokong reformasi atau bersimpati terhadap nasib bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentulah sukar. Berbanding kartunis Zunar yang jelas pendirian politiknya yang proreformasi dan pro-Anwar, apatah lagi menyalurkan tenaga kreatifnya melalui lidah pembangkang, Harakah . Lat bukanlah Zunar.
Tetapi sebagai kartunis, Lat tidak pernah lupa mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir. Ketika beliau mula bercerita tentang membangunkan kereta nasional, Lat menyindir PM dengan lakaran kereta lembu berlatarbelakangkan bangunan Parlimen. Ya, lakaran itu diterbitkan dalam akhbar Inggeris tersebut.
Dua hari lalu, kartunis ini melakarkan Mahathir sebagai sebuah 'sphinx' - satu binaan penting dalam zaman pemerintahan dinasti Firaun. Patung itu, menurut [#1] fakta sejarah[/#] , menggambarkan kepala seorang wanita yang berbadan singa dan bersayap seperti burung. Ia dibina kira-kira 4,500 tahun lalu di Mesir purba sebagai menyanjungi tuhan matahari.
Karikatur ini mengingatkan penyokong reformasi, dan juga pengamat politik, tentang Mesir dan lambang kediktatoran Firaunnya. Lagipun, Mahathir sendiri pernah digambarkan oleh sebuah laman web terkenal, [#2] Mahafiraun 2020[/#] , sebagai 'fir-aun'. PM sendiri pernah mengesahkan hal ini dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno pada 11 Mei lalu.
Beberapa posting dalam sebuah laman diskusi web, [#3] Forum Gerak-Reformasi[/#] (FGR), seorang [#4] penyumbang[/#] menulis begini: "Kartun Lat hari ini, Mahathir jadi mahafiraun. Syabas Lat." Sementara seorang lagi menambah, "Lat orang BA (Barisan Alternatif)?? Dia ada otak!!"
Pastilah, dua penyokong pembangkang ini tidak menyertai program boikot media - akhbar Inggeris itu termasuk sasaran utama Jawatankuasa Memantau Media pimpinan jurucakap BA, Rustam A Sani.
Lakaran ini diterbitkan di muka depan akhbar NST dan sememangnya kini Lat menyumbang setiap hari dengan bayaran yang lumayan. Kata sumber, kononnya untuk meningkatkan jualan akhbar tersebut.
Di halaman yang sama, berita utamanya mengenai pengisytiharan Mahathir untuk mempertahankan negara ini dengan "kuku dan gigi" daripada serangan globalisasi. Sementara di beberapa halaman dalamnya, akhbar ini menerbitkan sepenuhnya ucapan Perdana Menteri di Pusat Kajian Asia, Universiti Kaherah.
Dalam bahasa asal, tajuk NST pada 21 Jun itu, " PM: We'll fight tooth and nail ."
Mahathir ke Mesir sempena sidang kemuncak ke-10 negara-negara membangun yang dikenali G-15 atau Kumpulan 15 - sebuah pertubuhan negara miskin dan selatan - sebagai melawan Kumpulan 7 (atau G-7).
Lalu, lakaran sphinx yang berwajahkan Mahathir (sedang marah) itu juga memaparkan dua kaki depan singa yang sedang mencakar-cakar. Wajah PM itu dapat dikenali melalui hidungnya yang istimewa (seperti juga cara Zunar memperkenalkan Mahathir) dan kaca matanya.
Di belakang patung sphinx ini, terdapat dua buah piramid.
Simbol kemarahan Perdana Menteri, selain kuku singa yang mencakar tanah, dapat dilihat pada gerakan kening, keadaan mulut yang mencebik dan bahasa kartun, "grrr!" Ringkasnya, Mahathir dilakarkan benar-benar sedang marah dan geram.
Tidaklah ganjil kemarahan itu kerana sejak ekonomi negara merudum dalam krisis Asia pada 1997, Mahathir mula membelek-belekkan semua keburukan globalisasi. Malah, dalam tempoh beberapa bulan ini, khutbah keburukan globalisasi - daripada tokoh Asia yang suka memuji globalisasi sebelum ini, bahkan mengadakan road-show di negara-negara Barat mengajak pelabur short-selling ke bursa saham BSKL - semakin menjela-jela.
Tahun lalu, sebuah lakaran Lat tidak digunakan di akhbar itu. Ia memaparkan keadaan Perdana Menteri yang sedang sakit tenat di wad hospital dan terpaksa disokong dengan segala saluran-saluran bantuan. Saluran-saluran itu membentuk jaring-jaring besi - bukan hanya bekas timbalannya, Anwar, terpenjara tetapi Mahathir sendiri dipenjara oleh kesihatannya! Waktu itu, PM sedang berada di Institut Jantung Negara.
Tetapi kali ini, ironi sekali, khususnya selepas Ketua Pengarangnya A Kadir Jasin meninggalkan meja pengarangnya, NST menerbitkan kartun politik yang mempunyai nilai politik yang penuh persoalan.
Apakah penyunting dan pengarangnya tidak lagi memikirkan kesannya, atau mereka tidak mempunyai konsep 'maha-firaun' yang sering dijadikan simbol kritikan terhadap Mahathir.
Dalam pilihan raya kecil Telok Kemang, gambar dan konsep mahafiraun ini digunakan pada wang kertas 'palsu' yang diedarkan kepada pengundi beberapa hari menjelang 10 Jun lalu.
Wang palsu itu tertulis, selain foto Mahathir berimej ala Firaun, "Bank Mahafiraun" dan "Hapuskan politik wang" - sebagai strategi menyindir amalan rasuah pilihan raya menjelang saat-saat akhir hari membuang undi.
Bagaimanapun, boleh jadi juga Lat tidak bermaksud begitu. Beliau hanya merakamkan suasana Mesir purba itu sebagai mengambil latar sejarah negara tempat persidangan G-15 dan menggambarkan kemarahan PM di negara itu.
Tetapi, seperti tulis seorang lagi pengguna internet yang membalas tafsiran di laman FGR itu: "otak hang (penulis yang menuduh PM sebagai mahafiraun) memang celaru."
Namun, a picture tells a thousand words , atau sekeping gambar boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai maksud.
