BERITA

'Wayang kulit harus, tapi boleh jadi haram'

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mei 2015, 9:56 pagi

Penggiat seni wayang kulit terutama Tok Dalang perlu arif dalam memainkan peranan membawa perubahan dalam persembahan kebudayaan itu agar mengikut syariat Islam.

Tok Dalang Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan Muhammad Dain Othman berkata Wayang kulit asli Kelantan tidak bercanggah dengan garis panduan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan dan Dasar Kesenian dan Kebudayaan Negeri.

"Namun satu sahaja aspek yang bercanggah adalah amalan dalang yang tidak arif dengan ciri dominan wayang kulit itu sendiri sehingga melanggar format yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di Majlis Forum Wayang Kulit Dalam Perspektif Islam di Muzium Negeri Kelantan.

Anggota panel lain ialah mantan Pengarah Bahagian Jabatan Warisan Negara yang juga tokoh budayawan, Siri Neng Buah.

Muhammad Dain berkata wayang kulit Kelantan dalam lingkungan harus tetapi boleh menjurus kepada haram berikutan ketidakarifan Tok Dalang.

Sementara itu, Ketua Jabatan al-Dakwah Wal Qiadah Kolej Islam Sultan Ismail Petra, Mohd Saiba Yaakob berkata persembahan wayang kulit dengan tujuan penyebaran maklumat, pendidikan, memberi kesedaran dengan tujuan dakwah adalah sangat digalakkan.

"Bukan setakat harus tetapi amat digalakkan asalkan tiada unsur yang tidak dibenarkan khususnya dalam dakwah Islam," katanya.

Forum itu adalah sebahagian program sempena Festival Wayang Kulit Antarabangsa yang diadakan sebulan dari 15 April hingga 15 Mei ini di Muzium Negeri Kelantan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.