BERITA

1MDB jual tanah RM190j pada TH

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mei 2015, 9:10 pagi

Firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjual sebidang tanah kepada Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta (US$53 juta), lebih rendah daripada paras yang dijangka sebelum ini.

Ketua pegawai eksekutif lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah mengesahkan pembelian tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX).

Menurutnya, pembelian itu berkenaan akan digunakan untuk membangunkan satu bangunan kediaaman.

Katanya, Tabung Haji menerima diskaun dari nilai harga semasa yang dikemukakan oleh satu jurunilai hartanah bebas.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Tabung Haji akan membeli hartanah dinamakan "Signature Tower (Phase 2)".

"Tabung Haji menafikan pembelian Signature Tower (Phase 2) oleh Kumpulan Tabung Haji seperti dilaporkan oleh blog tertentu," katanya.

Tanpa menamakan blog tertentu, beliau berkata maklumat yang tersebar itu hanyalah daripada kertas cadangan.

"Maklumat yang dibocorkan melalui kertas cadangan tidak boleh digunakan sebagai bukti bagi keputusan akhir untuk pelaburan," katanya.

Sementara itu, laporan Reuters menyebut, Tabung Haji sebelum ini membuat rundingan untuk membeli dua bidang tanah dengan harga sekitar RM720 juta (US$200 juta).

Menurut agensi berita tersebut, jualan tanah berkenaan bagi mengurangkan beban hutang dan memperbaiki penarafan kredit 1MDB.

1MDB, yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari lalu mengumumkan bahawa ia akan melupuskan aset dan menjual hak pembangunan bagi projek hartanahnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.