Dua pemandu terbabit kemalangan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang mengorbankan tiga sekeluarga Sabtu lepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan memandu secara berbahaya.
Tertuduh Mohd Fizal Reza Jamauddin, 31 dan Siti Noor Aini Mohd Said,35 didakwa bawah Seksyen 41(1) Akta pengangkutan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Jun depan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga sepuluh tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menetapkan ikat jamin sebanyak RM9,000 termasuk lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Manakala pasport mereka disimpan di mahkamah sehingga kes itu selesai.
Luka di bibir
Dalam kejadian kira-kira 1.05 pagi, 2 Mei lalu sepasang suami isteri Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, 7 bulan, maut dalam kemalangan itu.
Ia membabitkan tiga buah kenderaan di KM6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.
Noor Aini tiba di mahkamah dengan kesan luka di bibir.
Dia yang memakai baju hitam bertudung merah duduk di kerusi sambil menutup mulut.
Ketika pertuduhan dibacakan kepadanya, beliau dengan tenang mengangguk dan berkata “saya mengaku tidak bersalah”.
Sementara tertuduh Mohd Fizal yang memakai kemeja putih, turut memberikan jawapan yang sama.
Kedua-dua mereka enggan mengulas perkembangan itu walaupun dikerumuni pihak media. Mereka diiringi peguam masing-masing.
Noor Aini juga kelihatan cuba mengelak daripada wajahnya dirakamkan jurugambar.
Sementara itu, Bernama melaporkan mahkamah dipenuhi anggota keluarga tertuduh dan media yang berada di galeri awam sejak pukul 8.30 pagi dan prosiding yang bermula pukul 10.40 itu berlangsung dalam keadaan tenang.
Peguam pemerhati C.Leo Camoens mewakili keluarga mangsa. Bagaimanapun anggota keluarga mangsa tidak kelihatan di mahkamah.
Sementara itu, ketika dibawa keluar dari mahkamah, Siti Noor Aini yang digari tangannya menutup muka menggunakan selendang manakala rakannya Mohammad Fizal Reza yang juga digari kelihatan tenang dan tersenyum ke arah jurugambar serta orang awam.
Ketika ditemui Bernama, seorang wanita yang mengaku ibu saudara kepada Mohammad Fizal Reza berkata keluarga mereka sedang berusaha mengumpul wang bagi membayar jaminan anak saudaranya itu.
"Kami menerima panggilan daripada polis malam tadi menyatakan dia akan didakwa hari ini dan tidak pula diberitahu berapa jumlah yang perlu kami sediakan. Jadi hari ini kami masih berusaha mendapatkan wang jaminan itu," kata wanita itu yang enggan mendedahkan namanya.
Beliau hadir bersama anggota keluarga lain kerana ibu Mohammad Fizal Reza masih dalam keadaan terkejut dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.
