Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ya Allah, lindungi kami...'
Diterbitkan:  May 9, 2015 7:22 AM
Dikemaskini: 7:54 AM

Datuk Siti Nurhaliza turut berkongsi rasa bimbangnya dengan rakyat Malaysia ekoran pendedahan mengenai transaksi tanah membabitkan firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Tabung Haji seperti banyak dilaporkan media sehari dua ini.

Bagi penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh di Pahang itu, apa yang berlaku ketika ini "sangat memalukan".

Dalam pandangan ringkasnya di Twitter, beliau melanjutkan kenyataan itu dengan berdoa: "Ya Allah lindungi kami .."

Tweet itu dimuat naik beliau kira-kira sejurus selepas tengah hari tadi.

Isu pembelian setengah hektar tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji didedahkan beberapa hari lalu dan pengerusi agensi pengendali urusan haji itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ( gambar ) hari ini mengadakan sidang media mengenainya.

Selain mengenai perbezaan harga yang ketara ketika ia dibeli 1MDB dan dijual kepada Tabung Haji, kehadiran tiga individu dalam kedua-dua badan berkenaan juga dipertikaikan.

Keprihatinan Siti Nurhaliza nampaknya bukan berlaku secara tiba-tiba pada hari ini.

Beliau sendiri pernah sekurang-kurangnya dua kali menghantar semula tweet mengenai isu Tabung Haji itu sebelum ini.

Satu daripada tweet yang diulang hantar Siti Nurhaliza ialah mengenai laporan pengakuan Azeez melakukan kesilapan ketika membuat penafian mengenai pembelian tanah berkenaan.

Sebelum ini Siti Nurhaliza turut menyatakan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha bekas perdana menteri mempertikaikan 1MDB serta bebanan hutangnya.

Lihat Komen
ADS