Tabung Haji akan 'selamat' bawah Azeez
Mengharapkan - walaupun secara seloroh - supaya Datuk Dr Haron Din menjadi penyelamat Tabung Haji dengan menangkap 'lembaga' dalam agensi itu memanglah melampau.
Dengan kata lain, ia adalah acahan biadab walaupun kemarahan orang ramai dalam isu itu dapat difahami.
Hati siapa yang tidak sebak mengenangkan apa yang berlaku kepada Tabung Haji.
Secara umum, Tabung Haji boleh dianggap sebagai maruah umat Islam di negara ini. Daripada sebuah perbadanan yang disegani selepas ditubuhkan lebih separuh dekad lalu, kini ia semakin gigih memperjuangkan iltizamnya kepada masyarakat.
Lihat saja laman web Tabung Haji. Di situ jelas tertera enam iltizam mereka dalam mencapai visi yang ditetapkan, iaitu:
- Memperkasakan ekonomi ummah
Justeru, 'tidak banyak' yang perlu dikagetkan, sebenarnya, apabila Tabung Haji membeli sebidang tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang dibongkar baru-baru ini.
Memetik kata-kata pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam, Tabung Haji sentiasa beringat serta cermat menguruskan wang pendeposit.
Tambahan pula semua wang berkenaan - walaupun bernilai hanya RM1 - berada dalam jaminan kerajaan.
Pada masa sama Tabung Haji terpaksa menanggung subsidi yang begitu tinggi setiap kali musim haji tiba.
Kata Abdul Azeez, untuk tahun ini misalnya, Tabung Haji terpaksa membelanjakan kira-kira RM120 juta sebagai subsidi untuk jemaah haji tahun ini ketika kos sebenar menyempurnakan ibadah itu ialah RM17,270.
Untuk musim haji kali ini, seseorang jemaah yang mengambil pakej biasa hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM9,980. Malah kadar itu tidak berubah sejak 2009.
Siapalah kita untuk meragui Abdul Azeez, kan?
Sepatutnya tiada keraguan mengenai kemampuan Ahli Parlimen Baling itu apabila namanya diumumkan sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 2013.
Berbekalkan pengalaman beliau sebagai pentadbir - misalnya Kelab Putra 1Malaysia - tentulah tidak banyak masalah yang gagal ditanganinya.
Selain sibuk di dalam negara, kelab itu juga gigih menjalankan misi kemanusiaan di luar, termasuk Palestin. Untuk agensi sepenting itu, mustahil kerajaan akan melantik orang yang tidak berkemampuan menerajuinya.
Abdul Azeez adalah nama yang tepat untuk tugas sepenting dan seberat itu. Sekurang-kurangnya tentulah begitu pertimbangan kerajaan ketika melantik beliau.
Pada suatu ketika profil Abdul Azeez menunjukkan beliau memiliki ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Preston di Amerika Syarikat.
Berasal dari Petaling Jaya, beliau dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Sekretariat Perunding Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YAPEIM) pada 2002.
Peranan beliau di situ membolehkan agensi berkenaan dikemudi sehingga disegani di peringkat antarabangsa.
Dengan pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan korporat semestinya Tabung Haji tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah berisiko tinggi.
Dalam parti Abdul Azeez adalah seorang daripada anggota Majlis Tertinggi Umno. Di parlimen pula beliau sentiasa kelihatan garang mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tidak ada sebab mengapa Abdul Azeez perlu berundur daripada tugasnya di Tabung Haji. Dan Haron Din tidak perlu dilibatkan dengan apa-apa proses pembersihan di lembaga berkenaan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.