Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuma 20,966 saman status waran tangkap dibayar
Diterbitkan:  May 14, 2015 7:00 AM
Dikemaskini: 11:38 PM

Hanya 20,966 dari 1.59 juta saman berstatus waran tangkap yang dikeluarkan susulan kegagalan pengguna jalan raya membayar saman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah, diselesaikan sebelum penguatkuasaan Ops Warta, minggu depan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata pihaknya memberi peluang kira-kira dua minggu kepada pesalah trafik membuat semakan dan bayaran sebelum tindakan tegas diambil, namun hanya sebilangan kecil menjelaskannya.

"Kita telah kenal pasti pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ini... di mana mereka berada, dan minggu depan kita akan jejak dan tahan mereka seterusnya bawa ke mahkamah," katanya dalam program bual bicara Bernama Radio semalam.

Mohd Fuad berkata angka itu sangat rendah, sambil berpendapat bahawa pesalah  trafik tidak menggunakan peluang diberikan walaupun hebahan telah dibuat sejak 30 April lepas.

Katanya angka 1.59 juta itu merupakan baki dari 1.8 juta saman yang diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Mohd Fuad turut mencadangkan agar pesalah trafik tampil di Bukit Aman atau balai polis trafik berhampiran, bagi membolehkan pihaknya membantu mereka menyelesaikan perkara itu.

"Sekiranya mereka berdiam diri, sampai bila-bila pun masalah tidak selesai. Mereka juga boleh menyemak status di mana-mana balai polis trafik kerana di sana ada sistem dalam talian, boleh semak dengan memasukkan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran kenderaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata semakan juga boleh dilakukan di pejabat-pejabat pos.

Selain sekatan jalan raya, katanya penguatkuasaan Ops Warta juga akan mengesan pesalah trafik sehingga ke kediaman mereka.

Sementara itu, sebanyak 5.5 juta saman dikeluarkan tahun lepas, manakala sehingga April tahun ini, 1.9 juta saman direkodkan dengan kesalahan tertinggi ialah memandu laju dan meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS