Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Audit 1MDB, tapi Najib mesti berundur'
Diterbitkan:  May 20, 2015 1:50 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim berkata perdana menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meletak jawatan walau apa saja keputusan audit ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Zaid mengesan bahawa Najib tidak mengemukakan projek 1MDB ke kabinet atau ke parlimen, walhal ia adalah satu projek di luar belanjawan.

Bekas menteri hal ehwal undang-undang itu berkata, tindakan Najib itu bertentangan dengan prinsip tanggungjawab menteri.

“Ini bermakna, Najib perlu meletak jawatan walau apa jua disebut oleh laporan audit,” katanya dalam kenyataan di blog zaid.my.

Beliau merujuk kepada kenyataan Najib yang menyeru semua pihak agar menunggu keputusan audit ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Selain itu, Najib juga berkata beliau tidak boleh dipaksa meletak jawatan sebelum mandatnya selama lima tahun berakhir.

Mengulas pendirian ini, Zaid berkata, sikap Najib bertentangan dengan sistem Westminster, di mana kerajaan dan menteri bertindak mengikut konvensyen dan etika sistem berparlimen.

“Semua menteri terikat dengan prinsip tanggungjawab peribadi dan kolektif. Maka jika seorang menteri tidak bersetuju dengan keputusan kabinet, dia mesti letak jawatan,” katanya.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membangkitkan masalah 1MDB jika ia dibentangkan dan diluluskan dalam mesyuarat kabinet, katanya.

“Jika (Muhyiddin) tidak bersetuju dengan keputusan ini, beliau sepatutnya sudah lama meletak jawatan.

“Jika ia tidak dibentangkan langsung, maka Najib perlu meletak jawatan kerana mengikut prinsip tanggungjawab peribadi, ini jelas menunjukkan kecuaian tugas,” kata Zaid.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan siasatan ke atas 1MDB semalam.

Lihat Komen
ADS