Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, ia tidak membuat sebarang tuntutan berkenaan dengan dakwaan hubungan dengan Nazifuddin.
Katanya, ia percaya terdapat sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab telah secara sengaja memberi maklumat yang mengelirukan kepada media Thailand, untuk menghubungkan Nazifuddin dengan Ufun untuk memburukkan imej dan mengelirukan masyarakat umum.
Minggu lalu, Nazifuddin (gambar) menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan Ufun.
The Bangkok Post melaporkan sebelum ini bahawa polis Thai menganggarkan Ufun, melalui skim pelbagai tahap pemasaran dan Utoken, telah menipu kira-kira 120,000 orang sejumlah wang hingga RM4.1 bilion.
Ahli Ufun menjual Utoken, mata wang digital, yang dikatakan boleh digunakan untuk membayar barangan dan perkhidmatan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan UFun Tay Kim Leng juga dilaporkan dikehendaki oleh pihak berkuasa Thailand
Mengenai dakwaan bahawa syarikat itu menjalankan skim Ponzi, Ufun berkata mereka bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung "serangan terhadap syarikat itu."
Katanya, ia adalah sebuah syarikat yang berurusan dengan perniagaan yang sah.
"Demi melindungi kepentingan dan manfaat ahli-ahli kami di seluruh dunia, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghentikan serangan yang tidak wajar terhadap syarikat kami," katanya.
Sehubungan itu, katanya, ia telah mengarahkan kumpulan peguamnya untuk menjalan siasatan bagi mengenalpasti mereka yang secara sengaja menyebarkan khabar angin yang tidak benar untuk menyebabkan rasa tidak senang dan memalukan pihak-pihak berkenaan.
