BERITA

'Suami Aku Ustaz' galakkan pedofilia?

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Mei 2015, 11:45 tengahari

Selepas kontroversi seorang siswa terpalit kes pornografi kanak-kanak, ruang maya kecoh pula dengan tayangan filem yang didakwa menggalakkan pedofilia.

Walaupun ada yang membelanya, kebanyakan penonton mengkritik filem Suami Aku Ustaz arahan pengarah Ghaz Abu Bakar.

Antara yang mengulas perkara itu termasuk pemimpin PKR Latheefa Koya yang juga aktivis kumpulan peguam Lawyers for Liberty.

“(Filem) Ombak Rindu halalkan rogol! Hari ini Suami A ku Ustaz halalkan kahwin bawah umur, esok apa lagi Bapaku Suamiku halalkan sumbang mahram?” soal Latheefa.

Suami A ku Ustaz mula ditayangkan pada 14 Mei lalu.

Ia antaranya mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah (lakonan Nora Danish) yang dipaksa berkahwin dengan seorang guru agama (lakonan Adi Putra).

Sementara itu, seorang pengguna Facebook yang mengaku sudah menonton filem itu turut menyuarakan rasa marahnya.

“Anda tahu mengapa ia (jenayah rogol) berlaku?

“Kerana filem seperti Suami Aku Ustaz yang membiarkan keganasan berlaku akibat perkahwinan kanak-kanak dan meletakkan jenayah (rogol itu) di tempat yang baik,” tulisnya.

Manakala, pengguna Twitter dikenali Izzuddinarudin pula memuat naik lakaran ilustrasi guru agama itu bersama pelajarnya dengan tulisan berbunyi “suami aku pedofil”.

Penerbit: Watak akil baligh

Sementara itu The M alay M ail O nline melaporkan bahaya syarikat penerbit filem itu mempertahankan karya mereka.

Pengarah Urusan Karyaseni Sdn Bhd Datuk Wan Mohd Muzri Ramli berkata watak dalam Suam i Aku Ustaz seorang remaja dan bukan kanak-kanak seperti didakwa.

Wan Mohd yang juga penerbit filem itu menegaskan bahawa watak remaja dalam filem itu sudah akil baligh.

Malah, katanya, perkahwinan yang digambarkan dalam filem itu tidak akan menjadi masalah daripada sudut pandang agama Islam.

"Bawah umur hanya definisi mengikut adat dan enakmen. Kami menerima (definisi) demi keharmonian, tetapi ia bukan satu lesen untuk menghalang perkahwinan pada usia yang muda.

"Masih ada ruang melalui proses mahkamah, di mana hakim akan memutuskan segala-galanya," Wan Mohd dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Nur Fitri Azmeer Nordin mencetuskan kontroversi selepas dijatuhi penjara lima tahun oleh mahkamah di London.

Pelajar 22 tahun itu disabit bersalah atas 13 kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.