Ramai pihak menduga masanya sudah tiba bagi Datuk Seri Najib Razak berundur dari jawatan perdana menteri.

Orang pembangkang seperti Rafizi Ramli melihat, ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis tertutup bersama pemimpin tertinggi Umno pada hari Sabtu lalu merupakan petanda besar kiamat bagi Najib.

Rakaman video ucapan tersebut dimuatkan oleh seorang bekas editor The New Straits Times ke Internet.

Maka pecahlah isi pertemuan tertutup itu ketika Najib membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat semalam.

Kalut juga orang Umno dibuatnya. Seorang bekas MP Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin bingkas menuntut agar majlis tertinggi parti bertemu untuk membincangkan hukuman yang patut dikenakan pada Muhyiddin.

Nampaknya, ada dua jalan yang boleh dipilih oleh Umno – pecat Najib, seperti yang dilaung oleh individu tertentu dalam majlis tertutup di Janda Baik, atau pecat Muhyiddin.

Najib sudah banyak kali bergurindam mengenai bahtera patah kemudi, ribut taufan dan sebagainya. Jelas, beliau tidak akan berundur dengan mudah dan lebih sanggup tenggelam bersama orang-orangnya.

Satu kemungkinan yang mungkin timbul, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mungkin akan mendapati 1MDB tidak melakukan sebarang penyelewengan. Namun, adakah Umno akan kembali rukun dan damai?

Tentulah Muhyiddin sudah membuat perkiraannya sebelum meranduk dalam kekeruhan isu 1MDB.

Kalaupun 1MDB sememangnya didapati suci murni selepas ini, Muhyiddin tidak akan terlepas kerana beliau sudah berkempen kepada orang Umno bahawa syarikat yang ditaja kerajaan itu menyusahkan parti.

Langkah terbarunya ini juga menjadi persoalan kerana beliau sepatutnya sudah lama meletak jawatan jika tidak bersetuju dengan 1MDB.

Tidak seperti Najib, Muhyiddin tidak menawarkan pantun gurindam atau dongeng bangsawan. Katanya, pendirian yang dipegangnya mudah – beliau hormat pada Najib, tapi beliau hanya takut pada Allah.

Maksudnya, Muhyiddin mahu berlawan.

Maka tidak hairanlah jika isu seperti alat keperluan sekolah yang usang di pedalaman Sabah tiba-tiba dibangkitkan oleh bekas timbalan menteri dalam kementerian yang diterajuinya.

Jadi, siapa pilihan Umno?


SALHAN K AHMAD anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini