Most Read
Most Commented
Read more like this

Majistret Kuala Lumpur hari ini telah melepaskan kes Naib Presiden Keadilan Tian Chua dan pemimpin reformasi Abdul Malek Hussin yang dituduh bersabit dengan perhimpunan haram pada 'Black 14', iaitu 14 April, 1999, tanpa membebaskan mereka.

Majistret mahkamah Puan Lim Kui Lee pagi ini memutuskan bahawa kes perhimpunan haram dan halangan kerja anggota polis ini dilepaskan tanpa dibebaskan di mahkamah.

Chua dan Abdul Malek dituduh mengambil bahagian dalam suatu perhimpunan di Jalan Leboh Pasar Besar, Dang Wangi pada 14 April, 1999, pukul 1.10 petang tanpa memperolehi permit daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, yang membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 (Akta 344).

Tuduhan juga mengatakan bahawa kekerasan telah digunakan dalam perhimpunan haram tersebut dan mereka dikatakan melakukan satu kesalahan merusuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tuduhan kedua ke atas Chua menyebut bahawa di tempat dan waktu yang sama, beliau dituduh dengan sengaja telah menghalang seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menyuraikan perusuh dengan cara meluru ke hadapan ke arah kenderaan water cannon , yang membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 152 Kanun Keseksaan.

Tuduhan kedua atas Abdul Malek menyatakan di tempat dan waktu yang sama, beliau sengaja menghalang seorang anggota FRU dengan cara membaringkan diri di atas jalan raya berhampiran kenderaan water cannon dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 152 Kanun Keseksaan.

Pada 14 April, 1999, sejumlah 23 orang telah ditangkap atas tuduhan perhimpunan haram. Perhimpunan itu diadakan untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes salahguna kuasa bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim yang telah ditetapkan pada hari tersebut.

Chua, yang beberapa kali ditangkap oleh polis kerana terlibat dalam perhimpunan reformasi kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri sejak 10 April ini.

Penyakit lelah

Menurut ayah beliau, Chua Neo Lai, sehingga kini ahli keluarganya masih belum menerima sebarang maklumat untuk melawat beliau.

"Polis menyuruh kita menunggu berita daripada mereka," kata Neo Lai yang menemui pegawai polis di Bukit Aman minggu lalu.

Neo Lai berkata, ahli keluarga amat risau dengan kesihatan Chua kerana beliau mengidap penyakit lelah.

"Polis berkata kami tak perlu hantar ubat kepadanya lagi kerana doktor pihak polis akan menjaganya," kata Neo Lai yang telah beberapa kali berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk cuba berjumpa dengan anak sulungnya.

Menurut Neo Lai lagi, polis enggan memberitahu di mana Chua ditahan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS