BERITA

Adik PM: Tindakan 1MDB tak boleh diterima

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mei 2015, 8:13 pagi

Adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak berkata beliau tidak dapat menerima keputusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk tidak hadir ke siasatan parlimen berhubung masalah firma itu.

Pengerusi kumpulan perbankan CIMB itu berkata, bekas ketua pegawai operasi 1MDB, Datuk Shahrul Halmi dan penggantinya, Arul Kanda sepatutnya hadir untuk siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana firma tersebut “mencetus krisis nasional”.

“Syarikat anda mencetuskan krisis nasional dan anda boleh pula terlalu sibuk untuk menghadapi (siasatan) parlimen? Ini tidak boleh diterima,” kata Nazir.

Adik kepada Datuk Seri Najib Razak itu memuatkan tulisan itu melalui akaun Instagram.

Beliau pada April lalu turut mengecam 1MDB kerana tidak hadir ke persidangan Invest Malaysia untuk menjelaskan isu yang menghurung firma tersebut.

1MDB dalam kenyataan semalam menjelaskan tarikh yang ditetapkan untuk memberi keterangan di PAC itu bertembung dengan satu temujanji di luar negara.

Firma itu juga menyatakan bahawa Arul Kanda, Shahrol Halmi dan anggota lembaga pengarahnya akan memberi kerjaasama dan hadir ke siasatan PAC.

"Tarikh ini sedang diputuskan kerana tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan tarikh yang dijadualkan untuk komitmen di luar negara.

"Arul Kanda dan Datuk Shahrol Halmi menanti-nanti peluang untuk hadir ke siasatan jawatankuasa ini dan menjelaskan kedudukan 1MDB," kenyataan itu dipetik.

Dalam kenyataan hari ini pula, 1MDB seterusnya menjelaskan bahawa firma tersebut hanya menerima surat berhubung jemputan ke sesi siasatan tersebut pada 21 Mei.

Menurut 1MDB, jemputan yang dikepilkan bersama dalam satu surat dari kementerian kewangan itu meminta syarikat tersebut hadir ke siasatan pada 26 Mei.

“Sebaik menerima surat tersebut, 1MDB menjawab kepada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, pada hari yang sama ketika jemputan itu diterima.

“Seperti yang disahkan oleh YB Nur Jazlan, pengerusi PAC, tarikh untuk kemunculan ini masih lagi sedang diputuskan, memandangkan tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen di luar negara yang dijadualkan sebelumnya.”

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.