Majistret Kuala Lumpur semalam telah melepaskan kes Naib Presiden Keadilan Tian Chua dan pemimpin reformasi Abdul Malek Hussin yang dituduh bersabit dengan perhimpunan haram pada 'Black 14', iaitu 14 April, 1999, tanpa membebaskan mereka.
Majistret mahkamah Puan Lim Kui Lee pada pagi semalam memutuskan bahawa kes perhimpunan haram dan halangan kerja anggota polis ini dilepaskan tanpa dibebaskan di mahkamah.
Chua dan Abdul Malek dituduh mengambil bahagian dalam suatu perhimpunan di Jalan Leboh Pasar Besar, Dang Wangi pada 14 April, 1999, pukul 1.10 petang tanpa memperolehi permit daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, yang membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 (Akta 344).
Tuduhan juga mengatakan bahawa kekerasan telah digunakan dalam perhimpunan haram tersebut dan mereka dikatakan melakukan satu kesalahan merusuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
