Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pak Lah tak bermewah, tapi sanggup berundur'
Diterbitkan:  May 29, 2015 2:57 AM
Dikemaskini: 4:51 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak harus meletak jawatan kerana menimbulkan masalah besar yang tidak pernah berlaku semasa pentadbiran perdana menteri sebelum ini.

Mahathir berkata, penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak dituduh menjalani kehidupan mewah, namun sanggup meletak jawatan sebelum tamat penggal.

“Sebelum ini, tiada cakap-cakap mengenai perbelanjaan boros perdana menteri, membeli barangan mahal, menjalani kehidupan mewah.

"Sebahagian daripada cakap-cakap ini mungkin tidak benar, namun ia tidak pernah timbul semasa pentadbiran perdana menteri sebelum ini.

"Cakap-cakap seperti ini pasti timbul disebabkan gaya hidup perdana menteri yang berbeza daripada yang diharapkan,” kata Mahathir dalam tulisan di blognya, chedet.cc.

Mahathir menjawab kenyataan Najib yang bertegas untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal jawatannya.

Menurut Mahathir, Abdullah juga dipilih secara sah, malah dengan majoriti lebih besar daripada yang diterima oleh Najib, namun tetap meletak jawatan.

Prestasi p'raya lebih buruk

"Apa salahnya meminta perdana menteri meletak jawatan? Jelas sekali dia memberi masalah yang lebih besar kepada negara berbanding perdana menteri sebelum ini,” kata Mahathir.

Najib pada hari Rabu, melalui set jawapan kepada soalan lazim di blognya, menegaskan bahawa beliau tidak akan meletak jawatan

Katanya, beliau dipilih secara sah oleh parti dan rakyatnya dan akan kekal sebagai presiden parti dan perdana menteri sehingga tamat penggal jawatannya.

Mahathir juga tidak yakin bahawa Najib masih mampu menarik sokongan besar, walau ribuan orang hadir ke program bersama perdana menteri itu.

“Berkenaan sokongan ribuan orang ini, kita semua nampak demonstrasi sama sebelum pilihan raya umum ke-13. Keputusannya lebih teruk daripada pilihan raya umum ke-12.

“Demonstrasi ini tidak diterjemah kepada sokongan pada Najib. Mereka datang disebabkan pelbagai insentif.

"Atas sebab ini dan banyak sebab lain, Najib perlu meletak jawatan,” katanya.

Lihat Komen