Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli PAS bebas pilih 'kata dua' Hadi
Diterbitkan:  May 30, 2015 2:27 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Menjelang Muktamar Tahunan PAS di Kuala Selangor Khamis ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tampil mengemukakan formula mudah untuk perwakilan membuat pilihan pelbagai jawatan yang dipertandingkan.

Bagi Abdul Hadi, calon yang bertanding dalam muktamar kali ini terbahagi kepada dua, iaitu yang ingin mengikut telunjuk DAP atau  sebaliknya.

Sambil menyatakan perwakilan "bebas" membuat pilihan, bekas Menteri Besar Terangganu selama satu penggal itu berkata, barisan calon yang menawarkan diri untuk diundi perwakilan kali ini tidak lagi boleh dibahagikan kepada kumpulan ulama dan bukan ulama.

Memetik laporan Harakahdaily , Abdul Hadi berkata, kedua-dua kumpulan mempunyai ulama.

"Cuma satunya yang DAP hendak, satunya DAP tak nak... pilihlah," katanya.

Muktamar kali ini dianggap antara yang paling panas pernah dialami PAS sejak ia ditubuhkan pada 1951.

Berlaku pertembungan di antara kumpulan dikenali sebagai proulama yang semakin jelas  menjarakkan diri dengan gabungan Pakatan Rakyat.

Satu kumpulan lagi ialah beraliran sederhana - kebanyakannya disokong golongan profesional.

Abdul Hadi sendiri berdepan dengan bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang.

Berdasarkan kenyataan Abdul Hadi disiarkan Harakahdaily, secara tidak langsung Ahmad dilabelnya sebagai ulama yang mengikut telunjuk DAP.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, jika ada mana-mana parti lain - termasuk DAP - yang mempunyai  pandangan mengenai PAS dan mahu  kehendaknya diikuti, terpulang kepada ahli  PAS sendiri untuk membuat keputusan.

"Terpulang kepada ahli-ahli PAS hendak pilih. Hendak ikut dasar dia atau hendak ikut DAP,” tegasnya kepada media di Marang, Terengganu, semalam.

Lihat Komen
ADS