BERITA

Peluang Hadi bak bulan mengambang

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mei 2015, 10:05 pagi

Kurang seminggu dari tarikh  pemilihan PAS minggu depan, hanya kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat benar-benar selamat untuk terus berada dalam badan peneraju parti berbanding calon lai.

Walaupun jawatan Abdul Hadi berpotensi diganti bekas naibnya, Ahmad Awang namun kemungkinan itu agak sukar memandangkan situasi ahli politik Terengganu itu yang sudah berakar umbi.

Abdul Hadi menduduki kerusi presiden itu sejak 2002.

Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berpendapat, penglibatan Ahmad yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak dalam pemilihan kali ini dilihat sebagai "pemecah tradisi" untuk membuktikan bahawa jawatan presiden boleh dicabar.

Berbeza bagi jawatan lain apabila kedudukan setiap calon dilihat masih sukar untuk dijangka kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.

" Peluang untuk Ahmad menang amat tipis dan saya rasa kemasukan beliau dalam pertandingan bukan bertujuan untuk itu, tetapi sekadar membuat kenyataan bahawa tidak salah untuk mencabar presiden," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Saiful berpendapat, untuk melihat perubahan besar berlaku pada PAS ketika ini memang amat sukar.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, berlaku pertandingan antara Mohammad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Gerak kerja tak tersusun

Situasi semasa menampakkan penyandang  mempunyai peluang yang cerah untuk kekal berada di kerusi itu berikuat Mohamad - yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu -  mempunyai penyokong dan pengaruh di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, kejutan boleh berlaku sekiranya perwakilan mahukan seorang pemimpin yang dilihat lebih proulama untuk menduduki jawatan tersebut.

Kata Wan Saiful, tidak dinafikan Mat Sabu ada banyak pengaruh dan perwakilan pula agak matang  memilih.

"Kalau yang nombor satu (presiden) dari kem tertentu, yang nombor dua (timbalan presiden) akan diberikan pada kem lain. Saya rasa peluang untuk Mat Sabu kekal adalah besar.

"Tapi pada waktu sama kalau Mat Sabu kalah, ia tidak mengejutkan kerana gelombang kem konservatif semakin kuat dan kem progresif kurang tersusun gerak kerja mereka," katanya.

Menurut pandangan Wan Saiful, andainya Mat Sabu ( gambar ) kalah ia adalah hakikat majoriti anggota PAS menolak pemimpin yang mempunyai pemikiran progesif.

Namun, terdapat juga sumber yang memberitahu Malaysiakini,  perubahan undi daripada Hadi kepada Ahmad boleh terjadi apabila terdapat sesetengah kawasan yang inginkan perubahan tetapi terpaksa mencalonkan ahli parlimen Marang itu kerana bimbang "dikecam" oleh pihak tertentu dalam parti.

Memandangkan perwakilan akan memberikan undi secara individu dan tidak mengikut kawasan yang diwakili, kata sumber,  perubahan undi mungkin  boleh terjadi.

Selain itu, Wan Saiful berkata, pada Muktamar PAS  ke-61 ini, perkara yang menarik untuk diberi tumpuan ialah pencalonan bagi jawatan naib presiden memandangkan kerusi itu ditandingi oleh calon dari dua kem yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Bebas daripada pengaruh DAP

Menurutnya, calon yang akan memenangi jawatan naib presiden bakal melambangkan pemikiran dan kecenderungan para perwakilan PAS bagi menentukan masa depan parti Islam tersebut.

"Saya rasa di peringkat naib presiden akan melambangkan pola pemikiran paling berpengaruh dalam PAS dan peringkat ini yang paling menarik untuk diperhatikan.

"Kalau di peringkat naib presiden, ramai yang menang dari kem yang konservatif, itu melambangkan pola pemikiran PAS ini jelas, tetapi kalau calon yang menang itu seimbang, itu satu petanda baik bahawa ada kem progesif di peringkat akar umbi," katanya lagi.

Pada pemilihan kali ini, seramai enam orang yang bertanding bagi jawapan naib presiden. Dua daripadanya penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub. Seorang lagi ialah Tuan Ibrahim yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden.

Manakala empat pencabar  ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Idris Ahmad (ahli parlimen PAS Bukit Gantang), Datuk Iskandar Abdul Samad (Adun Chempaka) dan Datuk Mahfuz Omar (parlimen Pokok Sena).

Selain itu, masalah yang melanda PAS dan Pakatan, terutamanya bersama DAP , dilihat tidak akan mempengaruhi perwakilan untuk membuat keputusan terhadap pemilihan pucuk pimpinan parti.

Ini kerana, menurut Wan Saiful para perwakilan tidak akan terpengaruh dengan anasir luar kerana perkara utama bagi mereka ialah hala tuju parti tersebut.

Walau apa pun jangkaan yang dibuat, semuanya akan ditentukan pada 4 hingga 6 Jun depan pada muktamar yang akan diadakan di Kuala Selangor itu.

Dengan trend menggambarkan kecenderungan ke arah pertembungan dua aliran dalam PAS, segala keputusan yang dibuat perwakilan adalah penentu bagi masa depan parti bukan sahaja untuk masa dua tahun akan datang, tetapi ia turut menentukan masa depan parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-14.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.