Tindakan seorang tertuduh yang ingkar arahan dan memarahi majistret membawa padah apabila dia dihukum penjara atas kesalahan itu.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor memerintahkan Nuraisyah Sidhu Abdullah, 34, dihukum penjara dua hari atas tuduhan menghina mahkamah ketika prosiding sedang berlangsung.
Nuraisyah, seorang penganggur, dihadapkan ke mahkamah hari ini atas kesalahan mencuri dan ketika berdiri di kandang tertuduh, dia secara tiba-tiba meninggikan suara dan meminta majistret mendengarnya bercakap tanpa mempedulikan amaran supaya dia diam.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah terus berkata: "Dengar saya cakap, awak (tertuduh) boleh diam, biar saya cakap. Awak kalau nak mengaku tidak boleh ada alasan."
Nuraisyah pula menjawab: "Kejap majistret, dengar saya cakap dulu. Saya tak curi kerana takde unsur mencuri saya lakukan. Apapun tuduhan saya mengaku jer. Hidup saya dah musnah sebab bekas suami saya. Saya dianiayai tetapi apapun saya mengaku."
Keengganan Nuraisyah mematuhi arahan dan berkali-kali mengherdik polis mahkamah menyebabkan prosiding dihentikan sementara dan dia kemudiannya dibawa ke lokap mahkamah.
Pada prosiding hari ini, Noraisyah yang tidak diwakili peguam, dituduh mencuri 10 keping plat besi berukuran 200 x 200mm dengan anggaran kerugian RM1,000 di tapak projek MRT Jalan Semantan, Brickfields pada pukul 12.55 tengah hari Jumaat lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Noraisyah juga berhadapan dengan pertuduhan pilihan iaitu cuba mencuri 10 keping plat besi berukuran 200 X 200mm di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa.
- Bernama
