Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota masyarakat sivil dan rakyat prihatin akan berpeluang bersemuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam satu sesi dialog dengan NGO dan kumpulan masyarakat sivil Jumaat ini.

Penganjurnya, SukaGuam hari ini berkata, sesi dua jam itu akan memberikan masa yang cukup kepada peserta untuk mengambil bahagian secara aktif dalam sesi soal-jawab mengenai isu-isu berkaitan dengan Najib dan pentadbirannya.

SukaGuam merupakan singkatan kepada Sukarelawan Peguam Malaysia yang memberikan khidmat nasihat guaman secara percuma.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat (gambar) berkata, NGO, pemimpin aktivis dan orang ramai boleh bertanya kepada Najib mengenai semua topik termasuk isu-isu kontroversi seperti 1MDB dan urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji.

Katanya, Najib telah mengesahkan dengan pihak penganjur akan hadir di majlis tersebut.

Beliau berkata, pihaknya mahu dialog tersebut menjadi platform yang berkesan kerana SukaGuam adalah sebuah NGO yang berkaitan undang-undang.

"Di mahkamah, terdapat hujah dan satu lagi pihak sentiasa diberi peluang untuk menjawab hujah-hujah berkenaan," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Najib kini dalam lawatan ke seluruh negara untuk meraih sokongan selepas dikritik terutamanya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara isu yang dibangkitkan adalah dakwaan perbelanjaan berlebihan Najib dan pengendalian isu 1MDB dan GST.

Sementara itu, Najib telah menjawab sebahagian daripada isu-isu tersebut melalui blognya.

Semalam, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melaporkan Najib memberi kata dua kepada anggota kabinet berhubung isu 1MDB semasa mesyuarat pada hari Jumaat.

Mahathir juga dijemput

Khairul berkata SukaGuam juga akan menjemput Dr Mahathir bersama dengan 1,500 NGO dan pemimpin aktivis menghdiri sesi dialog itu yang dijadualkan berlangsung pada pagi Jumaat di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC.

"Ini adalah satu forum terbuka. Jika Dr Mahathir datang, kami akan menyambutnya," kata sambil menambah beliau akan menjemput Dr Mahathir jika beliau belum mendapat jemputan.

[Baca berita penuh/asal]

 
 

Lihat Komen
ADS