Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadir: Najib kini seperti 'itik mantah'
Diterbitkan:  Jun 3, 2015 11:45 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dengan krisis kepimpinan yang serius kini tidak ubah seperti “itik mantah”.

Beliau menggelarkan Najib demikian, dengan menyesuaikan istilah bahasa Inggeris, “lame duck” yang bermaksud seorang pemimpin yang tidak lagi berkesan dengan satu istilah tempatan.

“Negara terus menderita akibat masalah keyakinan seperti ditunjukkan dalam ekonomi dan di pasaran. Dalam istilah politik Amerika, PM kita seekor lame duck,” katanya.

“Dalam slanga utara, lame duck ini dipanggil itik mantah. Ia tidak boleh berjalan dan hanya menguek perlahan-lahan,” kata tokoh wartawan itu.

Beliau juga percaya bahawa telahannya mengenai pemberontakan di kalangan anggota Kabinet ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sememangnya berasas.

Kadir berkata ini berdasarkan cabaran Najib kepada para jemaah menteri minggu lalu agar meletak jawatan jika tidak selesa dengan projek cetusannya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Jika dia percaya dengan sungguh-sungguh bahawa terdapat pemberontak dalam Kabinet sehingga mencabar mereka berundur, maka petandanya beliau tidak lagi mendapat sokongan bulat dari partinya,” kata Kadir.

Dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com itu, bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press itu berkata, pemberontakan itu mungkin boleh dilihat dalam kes Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau merujuk kepada “sokongan bersyarat” Hishammuddin, seperti yang digariskan oleh sepupu perdana menteri itu di Twitter.

Kenyataan tersebut, yang meletakkan syarat untuk bersetuju dengan cabaran Najib, menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga Hishamuddin terpaksa menafikan bahawa beliau meletak jawatan menteri pertahanan.

Kadir seterusnya berkata, beliau juga diberitahu bahawa Najib juga sering mengadakan pertemuan dengan kumpulan ketua bahagian Umno.

“Ada sumber kata, (pertemuan diadakan) setiap hari. Adakah dia bimbang jika ikrar mereka sebelum ini sudah luntur dan perlu diperkuat dengan peruntukan kewangan dan janji-janji?,” soalnya.

Lihat Komen
ADS