Dewan Ulama PAS hari ini memberi amaran kepada DAP supaya tidak mencabar kesabaran anggota sayap parti  itu.

Malah, wakil Dewan Ulama Nasruddin Hassan berkata, usul dewan itu untuk memutuskan hubungan DAP adalah "pengajaran" kerana pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan presidennya.

"Dia (DAP) tampar kita banyak kali. Bila kita kata jangan tampar pipi kanan sebab pedih, dia tampar pipi kiri. Kemudian dia tampar bertalu-talu. Akhirnya kita tampar dia sekali, baru dia tahu bahawa kena tampar itu sebenarnya pedih.

"Saya rayu janganlah cabar kesabaran kami. Walaupun kami dari Dewan Ulama yang rata-ratanya memakai kopiah, serban, berjubah, tetapi ingat dalam jubah ini ada siku dan lutut yang masih kita belum guna lagi," katanya ahli parlimen Temerloh itu sambil mendapat laungan takbir daripada  perwakilan dan pemerhati.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Dewan Ulama di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Selain itu, Nasruddin berkata beliau turut berjanji untuk memastikan Dewan Ulama menjadi jambatan agar PAS lebih dekat dengan golongan bukan Islam.

Malah, dengan bersemangat, beliau berkata dewan tersebut juga akan memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan parti tersebut lebih hebat.

"Insya-Allah Dewan Ulama PAS akan jadi jambatan untuk membawa PAS lebih rapat dengan yang bukan Islam bersama-sama adik bongsu kita dari Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP).

"Dewan Ulama menyatakan komitmen tinggi untuk jadikan jemaah ini lebih bertenaga dan hebat," kata Nasruddin lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS