Badan Pencegah Rasuah akan memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin yang bercuti bersama seorang peguam terkenal seperti disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim.
Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Hussain, memaklumkan perkara tersebut kepada rombongan Pergerakan Pemuda parti-parti pembangkang dalam satu pertemuan hampir satu jam di pejabatnya pagi ini.
Dalam satu wawancara akhir Mei lalu dengan radio Australia, Rais menyifatkan lawatan Eusoff bersama V. K. Lingam ke New Zealand pada Disember 1994 sebagai "perlakuan yang tidak wajar" bagi seorang hakim dan kerajaan pernah menyatakan bantahannya.
Majlis Peguam merancang membawa isu ini dalam mesyuarat agung luar biasanya akhir bulan lalu tetapi membatalkannya selepas larangan mahkamah.
Rombongan pemimpin pemuda itu termasuklah Mohamad Ezam Mohd Nor dari Parti KeADILan Nasional, Salahuddin Ayub dan Idris Ahmad (PAS), Teng Chang Kim (DAP), dan Mohd Faizal Sanusi (PRM). Mereka juga diiringi hampir 50 penyokong yang menunggu di luar bangunan.
Rombongan lima pemimpin itu bertujuan menyerahkan satu memorandum bagi mendesak siasatan segera terhadap Eusoff dan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.
Dakwaan rasuah Abdul Hassan itu berdasarkan keterangan mahkamah bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahaya, dalam satu perbicaraan pada 12 Jun lalu. Dalam keterangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dikatakan menghalang BPR meneruskan siasatan terhadap pegawai tinggi di Jabatan Perdana Menteri itu.
"Kita berpuas hati dengan penjelasan Ahmad Zaki dan memahami bahawa badan tersebut mempunyai kuasa yang terbatas," jelas Ezam kepada malaysiakini selepas pertemuan itu.
Menurut Ezam lagi, Ketua Pengarah BPR menjelaskan kepada rombongannya, "tidak ada sebarang kepincangan terhadap sistem pentadbiran negara tetapi ketidakadilan wujud kerana ia tertakluk kepada individu tertentu."
Zaki bagaimanapun tidak menjelaskan siapa individu tersebut, tambah Ezam.
Zaki turut menjelaskan badan itu tidak boleh menyiasat keterangan Shafie sehingga polis selesai menjalankan siasatan atau kes itu diserahkan kepada BPR.
Akhbar-akhbar hari ini melaporkan polis telah memulakan siasatan berhubung keterangan Shafie tersebut mengikut Seksyen 2 Ordinan 22 (Kuasa-kuasa Perlu Darurat 1970).
Menurut akhbar, Penguasa Perhubungan Awam Ibupejabat Polis Bukit Aman, Supritendan Benjamin Hasbie berkata, siasatan dimulakan berikutan laporan yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Balai Polis Tun H. S. Lee pada 13 Jun lalu.
"Kita akan terus mendesak sehingga Dr Mahathir dibawa ke muka pengadilan," tegas Ezam yang telah memulakan kempen besar-besaran menyebarkan laporan polis Anwar terhadap salah guna kuasa Perdana Menteri itu.
Sejak seminggu lalu, Pemuda KeADILan membuat laporan ke balai-balai polis di Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Ezam dijadualkan bertolak ke Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kajang, Selangor untuk membuat laporan yang sama dalam masa terdekat.
Menurut Ezam lagi, dalam kempen itu, kira-kira satu juta keping salinan laporan polis Anwar turut diedar kepada orang ramai di sekitar kawasan tumpuan awam.
